Isnin, 19 Ogos 2019 | 4:33pm
KETUA Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof ketika sidang media sebelum majlis pelepasan konvoi Jelajah Dunia VM2020 Retro Havoc di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Promosi TMM2020 Jelajah Dunia ke 25 negara

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) meneruskan usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia (TMM2020) melalui program Jelajah Dunia (Retro Havoc World Tour) ke 25 negara bermula hari ini.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof, berkata promosi Jelajah Dunia itu adalah salah satu program pelancongan unik dengan kawasan liputan yang luas hampir serata dunia.

Katanya, dengan menggunakan sebuah kereta lama bertaraf legenda dalam dunia permotoran, program ini mengambil masa selama tiga bulan menjelajah lebih 25,000 kilometer melalui jalan darat dengan meneroka cuaca berbeza di setiap benua.

“Persiapan program ini telah diadakan sejak setahun lalu dan sepanjang laluan peserta akan mempromosi TMM 2020 dengan dibantu pejabat Tourism Malaysia luar negara,” katanya kepada media sempena pelancaran Jelajah Dunia Tahun Melawat Malaysia 2020 di sini hari ini.

Majlis pelepasan itu disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Jelajah Dunia TMM2020 dianjurkan MOTAC dengan kerjasama Retro Havoc Sdn Bhd melalui pemanduan kereta jenis Toyota AE86 yang dipandu pelumba kereta negara, Tengku Hedri Engku Hassan, 34.

Sepanjang program itu, Hedri dibantu dua peserta terdiri pemandu arah, Sharifah Nur Sharmila Syed Mohamed Sharer, 38, dan mekanik, Abdul Rahman Halid, 32.

Jelajah merangkumi beberapa negara antaranya China, Mongolia, Latvia, Russia dan berakhir di Nurburgring, Jerman.

Musa berkata, jelajah itu adalah sebahagian kempen TMM 2020 yang giat diadakan sebagai antara usaha menarik pelancong ke negara ini.

“Kita menjangkakan kehadiran pelancong meningkat melalui beberapa program diadakan terdiri Jualan Akhir Tahun (YES), perlumbaan Moto GP Sepang dan perlumbaan FIM World Endurance Championship dan FIA World Touring di Litar Lumba Sepang (SIC) bermula Oktober hingga Disember ini.

“Kerajaan menyasarkan 30 juta pelancong dengan pendapatan RM100 bilion sempena TMM2020,” katanya.

261 dibaca
Berita Harian X