Khamis, 22 Ogos 2019 | 12:46pm
Melebar dan memanjangkan Tambak Johor adalah antara syor yang dibincang dan diperhalusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor. - Arkib NSTP

Melebar, memanjangkan Tambak Johor antara syor atasi kesesakan

PUTRAJAYA: Melebar dan memanjangkan Tambak Johor adalah antara syor yang dibincang dan diperhalusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, semalam.

Mesyuarat berkenaan turut bersetuju memperhalusi beberapa syor lain yang dibangkitkan oleh ahli Jawatankuasa Khas, antaranya membina laluan pejalan kaki berbumbung, membina laluan kapal dan membesarkan kompleks pintu masuk sedia ada di Tambak Johor.

Mesyuarat semalam juga adalah kali pertama diadakan setelah Jemaah Menteri memutuskan supaya satu Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor ditubuhkan pada 20 Jun lalu.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi kenyataan hari ini, berkata, kementerian itu dipertanggungjawabkan sebagai Urus Setia Jawatankuasa Khas itu, manakala Pasukan Petugas Khas ditubuhkan di peringkat Negeri Johor dibubarkan.

Katanya, ia berikutan pembentangan Nota Jemaah Menteri (NJM) oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bertajuk Inisiatif Pelaksanaan Bagi Mengurangkan Kesesakan Di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor.

“Ia merangkumi pelaksanaan inisiatif secara jangka masa pendek, sederhana dan panjang bagi mengurangkan senario kesesakan teruk yang masih berlarutan di pintu masuk terbabit.

“Semua inisiatif pelaksanaan yang telah dikenal pasti adalah hasil dapatan melalui sesi libat urus seperti bengkel, perbincangan dan mesyuarat penyelarasan di peringkat kementerian, jabatan dan agensi berkaitan,” kata kenyataan itu.

Menurut KDN, mesyuarat mengambil maklum tiga kertas pembentangan berkaitan isu kesesakan dan cabaran pengurusan di kedua-dua pintu masuk di Tambak Johor, termasuk isu dari perspektif Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Kenyataan itu juga menyatakan, berdasarkan pembentangan, mesyuarat itu mempertimbang dan memutuskan agar KDN menjadi pengurus bangunan BSI dan KSAB, selain mewujudkan Jawatankuasa Kecil dianggotai beberapa menteri serta wakil kerajaan Johor, yang dipengerusikan Menteri Dalam Negeri.

Ini katanya, untuk menyusuli dan memperhalusi inisiatif yang disyorkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor.

“Antara inisiatif segera akan dipertimbang dan diperakukan bagi menangani kesesakan di kedua-dua pintu masuk itu adalah meluluskan peruntukan khas dan tambahan bagi BSI dan KSAB serta menubuhkan badan tunggal mengawal sempadan negara dan pintu masuk, termasuk pelabuhan (Single Border Agency).

“Selain itu, mengecualikan dasar kawalan pengisian bagi perjawatan di pintu masuk kepada pengisian penuh dan mengadakan kajian bagi mengenal pasti isu, cabaran dan hala tuju untuk keperluan kapasiti penggunaan masa hadapan,” katanya.

1087 dibaca
Berita Harian X