Khamis, 22 Ogos 2019 | 12:54pm
Tiada rombakan dibincangkan pada mesyuarat mingguan Kabinet di Putrajaya, semalam.

Tiada rombakan Kabinet dibincangkan semalam

PUTRAJAYA: Menteri Kabinet hari ini menafikan desas-desus bahawa rombakan Kabinet akan berlaku dalam masa terdekat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata sepanjang pengetahuannya, rombakan berkenaan tidak akan berlaku buat masa ini.

"Tidak (berlaku rombakan Kabinet) buat masa ini," katanya pada sidang media selepas mesyuarat kumpulan Fokus Bajet Belanjawan 2020 bersama Kementerian Kewangan di sini, hari ini. Yang turut hadir, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

BH hari ini melaporkan, rombakan Kabinet mungkin berlaku dalam masa terdekat berikutan pertemuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mula-mula terbabit dalam pembentukan Kabinet pada Mei 2018, semalam.

Difahamkan pertemuan itu bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas mengenai hal ehwal perjalanan kerajaan yang menyentuh perkara berkaitan portfolio dan kementerian.

Sementara itu, Guan Eng berkata, isu rombakan Kabinet tidak ada dibincangkan dalam pertemuan itu, sebaliknya ia adalah pertemuan Perdana Menteri dengan pemimpin utama kerajaan bagi membincangkan mengenai urusan kerajaan.

“Ia tiada kaitan dengan apa yang disebut (mengenai rombakan Kabinet). Ia tidak dibincangkan langsung.

"Semalam, (mesyuarat) hanya antara pemimpin utama kerajaan, bukan ketua parti. Itu sebabnya hanya pemimpin kerajaan iaitu menteri yang hadir untuk bermesyuarat dengan Tun," katanya.

Ditanya sama ada isu berkenaan ada dibangkitkan dalam mesyuarat lain sebelum ini, Guan Eng berkata, ia tidak pernah dibangkitkan.

"Saya tidak tahu perjumpaan lain. Semalam (perbincangan) mengenai urusan kerajaan. Bukan saja semalam tapi sebelum ini tidak pernah dibangkitkan (isu rombakan Kabinet)," katanya.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP turut menafikan dakwaan bahawa parti itu ada menghantar senarai calon untuk dipilih sebagai anggota Kabinet kepada Perdana Menteri.

"Tidak benar sama sekali kerana Kabinet sudah ada. Kabinet yang ada kekal daripada pihak DAP dan saya tidak hantar apa-apa," katanya.

4018 dibaca
Berita Harian X