Khamis, 22 Ogos 2019 | 6:05pm
PENGASAS Big Blue Capital (M) Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail. NSTP/Syakirah Azhar.

'GoJek hanya undang jenayah'

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan teksi motosikal atau GoJek di negara ini didakwa bakal membawa kesan kepada peningkatan jenayah seperti cabul, rogol dan culik.

Pengasas Big Blue Capital (M) Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail, ketika mengutarakan pendirian itu mendakwa wujud segelintir pemandu teksi yang disenarai hitam kerana mempunyai rekod buruk sebelum ini beralih kepada e-hailing.

Katanya, percaturan itu diambil kelompok pemandu bermasalah berkenaan kerana kerajaan tidak mengenakan kawalan terhadap operasi e-hailing seperti Uber dan Grab.

“Jadi pemandu yang disenarai hitam ini akan ‘lompat’ menjadi penunggang GoJek dan mempunyai banyak peluang untuk melakukan kegiatan atau tabiat lama mereka.

“Siapa yang dapat kawal kalau penunggang GoJek daripada kelompok bermasalah ini bawa pembonceng mereka ke dalam hutan untuk rogol dan rompak?

“Itu belum cerita kesan peningkatan kadar kemalangan kerana sudah pasti naik motosikal membolehkan mereka ‘cilok’ sana sini dan menunggang secara berbahaya,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau mengulas langkah kerajaan yang memberikan ‘lampu hijau’ untuk memperkenalkan GoJek, namun tertakluk kepada kajian selanjutnya oleh Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Belia dan Sukan.

Menepis tanggapan sinis segelintir pihak, Shamsubahrin menjelaskan pihaknya menolak GoJek bukan kerana khuatir industri teksi dan e-hailing akan terjejas atau berdepan kemungkinan ‘gulung tikar’.

Beliau berkata, hal itu kerana GoJek adalah perkhidmatan yang bakal dimanfaatkan segmen masyarakat tertentu, khususnya pengguna transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan bas henti-henti, GoKL.

“Kita protes bukan sebab takut industri teksi ‘bungkus’ tapi ini atas dasar keprihatinan terhadap keselamatan penumpang dan masyarakat, selain ia menyentuh banyak aspek seperti agama serta masa depan anak muda Malaysia.

“Operator teksi tiada masalah jika ingin benarkan GoJek beroperasi, tapi bukan untuk mengambil penumpang, sebaliknya lebih kepada menghantar makanan atau dokumen,” katanya.

Shamsubahrin turut mendakwa pengenalan perkhidmatan GoJek di negara ini sekadar bakal dimanfaatkan sepenuhnya oleh ribuan warga asing yang ‘berkampung’ di bandar utama.

Sehubungan itu, katanya, kajian terperinci wajar dilakukan pihak berkaitan sebelum memberikan kata putus bagi memberi laluan untuk perkhidmatan berasaskan aplikasi dan berasal dari Indonesia itu beroperasi di Malaysia.

“Mungkin ada rakyat kita naik, cuma jumlahnya sekadar mewakili pengguna minoriti, sebaliknya yang betul-betul bergantung kepada perkhidmatan GoJek nanti ialah warga asing seperti Nepal dan Indonesia,” katanya.

Berita Harian X