Khamis, 22 Ogos 2019 | 8:37pm
Portal SEBENARNYA.MY

Jangan sebar gambar, video bendera terbalik - SKMM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan gambar atau video dengan paparan Jalur Gemilang yang dinaikkan secara terbalik.

Menerusi kenyataan dimuat naik di portal SEBENARNYA.MY, SKMM memaklumkan pihaknya mendapati terdapat penyebaran dan penularan gambar atau video dengan paparan Jalur Gemilang yang dinaikkan secara terbalik.

“Pemerhatian mendapati kebanyakan gambar atau video berkenaan adalah berdasarkan insiden yang berlaku (dengan tidak sengaja) dan yang sudah lama tular sebelum ini.

“Walau bagaimanapun, SKMM tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu yang mengubahsuai gambar-gambar berkenaan untuk agenda jahat mereka,” katanya.

Sehubungan itu, SKMM menasihatkan pengguna media sosial untuk tidak menyebarkan gambar sedemikian yang boleh menyemai kebencian dan kemarahan orang awam.

“Pengguna internet juga digesa untuk mempertingkat kawalan kendiri ketika mengakses internet.

“Juga tidak menggunakan platform berkenaan untuk menyebarkan kandungan palsu, jelik, dan menghina yang boleh mengundang kemarahan serta menjejaskan ketenteraman awam.,” katanya.

1794 dibaca
Berita Harian X