Khamis, 22 Ogos 2019 | 9:15pm

Ramai netizen tidak setuju GoJek diperkenal di Malaysia

KUALA LUMPUR: Majoriti netizen tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau GoJek.

Berdasarkan undian yang dijalankan menerusi laman Twitter dan Facebook BH sejak jam 10 malam semalam sehingga jam 7.30 malam ini, 59.5 peratus atau 8,093 daripada 12,651 responden menolak idea pelaksanaan sistem pengangkutan itu.

Netizen membantah langkah memperkenalkan perkhidmatan pengangkutan berteraskan aplikasi dan berasal dari Indonesia itu berikutan pelbagai faktor.

Ia merangkumi aspek keselamatan, percanggahan sistem perundangan, demografi penduduk, pertikaian antara industri dan kesan alam sekitar, malah rata-rata menyifatkan percaturan kerajaan memperkenalkan GoJek sebagai ‘langkah mundur’ serta tidak selari kepesatan pembangunan Malaysia.

Pemilik akaun Facebook menggunakan nama Yeng Yong Yang, berkata GoJek hanya bakal mencetuskan impak negatif sekiranya dilaksanakan, khususnya membabitkan peningkatan kes jenayah seperti rompak, ragut dan rogol di negara ini.

“Tak naik GoJek pun kena rompak, kena samun, kena ragut. Kalau naik GoJek, silap hari bulan dengan penumpang-penumpang kena rogol kalau perempuan. Kalau di Thailand, sekurang-kurangnya boleh naik tiga orang satu motosikal.

“Di Malaysia mana boleh, rasa macam kes jenayah akan makin meningkat dengan cara mudah,” katanya.

Shukrii Johari pula mencadangkan supaya kerajaan menggalakkan perkongsian kenderaan dan penggunaan sistem pengangkutan awam, berbanding mempertimbangkan langkah untuk memperkenalkan GoJek.

Beliau berkata, cadangan memperluaskan operasi GoJek di Malaysia tidak sejajar komitmen kerajaan untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon dioksida yang dikesan menjadi punca utama kesan rumah hijau, sekali gus menjadi penyumbang utama kepada faktor perubahan iklim global.


perkhidmatan teksi motosikal, Go-Jek. - Gambar hiasan

“Zaman dulu, kita perlu kurangkan pengeluaran karbon dan asap kenderaan. Banyakkan bas dan galakkan penggunaan kenderaan awam serta ‘carpool’ (kongsi kereta).

“Zaman sekarang, kita nak duit. Buat saja segala benda bagi dapat duit walaupun korbankan alam. Banyakkan kenderaan, kilang, tetapi kemudian salahkan najis burung. Generasi masa depan pandai-pandai merekalah,” katanya.

Berdasarkan kajian sama, sebanyak 40.5 peratus atau 4,558 responden pula menyokong percaturan kerajaan untuk mempertimbangkan pengenalan GoJek, tertakluk kepada hasil kajian dikendalikan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Belia dan Sukan.

Adialhadi Norawi berkata, GoJek sesuai diperkenalkan di tengah bandar, khususnya bagi menampung permintaan pengguna bagi perjalanan jarak dekat kerana kawasan di sekitar kota sering sesak susulan kekangan trafik dan kepadatan kenderaan.

“GoJek bagus untuk kawasan tengah bandar raya dan bagi perjalanan jarak dekat, selain menyasarkan permintaan kelompok pengguna, tanpa bagasi yang sering bergerak dari satu tempat ke lokasi lain.

“Ia memberi satu lagi pilihan perkhidmatan pengangkutan awam dengan kos rendah. Pasti akan ada isu berkaitan keselamatan, penunggang wanita, insurans, lesen, persaingan dengan e-hailing, cuaca dan sebagainya.

“Bagaimanapun, kehendak, kemampuan dan keperluan kita berbeza. Secara peribadi, suatu bentuk pengangkutan yang akan saya cuba jika bergerak secara bersendirian, khasnya di tengah bandar,” katanya.

Undian perkhidmat teksi motosikal atau Gojek di Facebook - https://bit.ly/33TjjBm dan di Twitter - https://bit.ly/2NoEaqn

2443 dibaca
Berita Harian X