Jumaat, 23 Ogos 2019 | 8:32am
GoJek boleh dilaksanakan tetapi beberapa aspek perlu diambil kira seperti keselamatan penunggang dan pembonceng, latihan mencukupi kepada penunggang serta kemudahan memilih penunggang mengikut jantina. - Foto fail Reuters

GoJek: Faktor keselamatan perlu diberi perhatian

KUALA LUMPUR: Faktor keselamatan perlu diberi perhatian dalam cadangan kerajaan untuk melaksanakan perkhidmatan teksi motosikal atau GoJek di negara ini.

Penganalisis, aktivis masyarakat dan orang awam senada berpendapat di sebalik aspek membuka ruang pekerjaan serta menambah pendapatan, isu keselamatan dan nyawa penunggang serta pembonceng motosikal perlu diberi perhatian serius.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Law Teik Hua, berkata faktor keselamatan perlu berikutan kadar kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal di negara ini adalah tinggi setiap tahun.

“Pada saat kita berusaha mencari jalan mengurangkan kematian penunggang motosikal, GoJek ini pula sudah tentu memancing ramai minat anak muda dan sesiapa sahaja untuk menunggang.

“Mereka yang tidak ada motosikal pun akan membeli motosikal, ia secara tidak langsung meningkatkan risiko keselamatan dan nyawa,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Beliau turut membandingkan situasi di Thailand dan Indonesia yang sudah lama melaksanakan GoJek serta menyifatkan kedua-dua negara itu berbeza dengan Malaysia apabila pengangkutan utamanya memang menggunakan motosikal berdasarkan keadaan trafik dan kos sara hidup yang rendah.

Berkongsi pandangan sama, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) yang juga aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye, memohon kerajaan mempertimbang sebaik-baiknya aspek keselamatan dalam pelaksanaan cadangan itu.

“Kalau dari aspek meningkatkan kemudahan pengangkutan untuk golongan rakyat berpendapatan rendah, ini mungkin ada kelebihan tetapi sebelum ia (GoJek) dilaksanakan, saya berharap semua aspek berkaitan keselamatan jalan raya diambil kira. Kita tahu bahawa banyak kemalangan jalan raya membabitkan motosikal, perkara ini perlu diteliti,” katanya.

Pekerja swasta, Nurul Huda Jaafar, 26, berkata cadangan mewujudkan GoJek adalah alternatif untuk menangani masalah kesesakan jalan raya di kawasan bandar, terutama pada waktu puncak.

“GoJek boleh dilaksanakan tetapi beberapa aspek perlu diambil kira seperti keselamatan penunggang dan pembonceng, latihan mencukupi kepada penunggang serta kemudahan memilih penunggang mengikut jantina. Macam saya, lebih selesa memilih ‘rider’ perempuan yang mahir menunggang,” katanya.

Pengusaha kedai serbaneka, Ismail Ramli, 34, pula berkata kerajaan harus memastikan penunggang GoJek diberi latihan mencukupi, terdiri daripada individu benar-benar layak membawa motosikal serta memiliki motosikal berkeadaan baik dan selamat.

Rabu lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata Kabinet meluluskan cadangan untuk mewujudkan perkhidmatan GoJek, manakala Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof pula memaklumkan Jemaah Menteri memutuskan agar kajian dari sudut undang-undang dibuat terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan. – BERNAMA

955 dibaca
Berita Harian X