Jumaat, 23 Ogos 2019 | 4:21pm
MENTERI Luar Datuk Saifuddin Abdullah (tengah) menyiram pokok yang ditanam sempena Hari Kebangsaan Ke-62 yang akan tiba 31 Ogos 2019 ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Chung Hwa hari ini. - Foto BERNAMA
MENTERI Luar Datuk Saifuddin Abdullah (tengah) menyiram pokok yang ditanam sempena Hari Kebangsaan Ke-62 yang akan tiba 31 Ogos 2019 ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Chung Hwa hari ini. - Foto BERNAMA

Keputusan Kabinet berhubung Lynas berdasarkan fakta saintifik

KUANTAN: Keputusan Kabinet memperbaharui lesen kilang nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) selama enam bulan dibuat berdasarkan dapatan saintifik.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak serta jabatan berkaitan sebelum ia diluluskan.

“Saya sebagai anggota Kabinet yang sudah melawat kilang serta bertemu dengan pekerja Lynas, merasakan keputusan yang dibuat Kabinet itu adalah berdasarkan perkembangan saksama serta saintifik.

“Sebagai dalam satu pasukan, saya berpegang kepada keputusan Kabinet dan itu (keputusan) juga dibuat berdasarkan (mengambil kira) kebimbangan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat lawatan ke Sekolah Menengah (SM) Chong Hwa Kuantan, di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai pertukaran beberapa portfolio dalam Kabinet yang dimaklumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, Saifuddin yang juga Menteri Luar bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Perubahan portfolio itu hanya Perdana Menteri yang boleh putuskan,” katanya ringkas.

Ditanya, sama ada beliau bersedia sekiranya ditukarkan portfolio daripada jawatan yang disandang sekarang, Saifuddin sekadar tersenyum.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai ketiadaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu menjelaskan, beliau juga tidak hadir dalam pertemuan itu.

“Saya difahamkan Perdana Menteri bertemu dengan ketua-ketua parti dalam Pakatan Harapan yang terbabit ketika pembentukan awal Kabinet sahaja,” jelasnya.

Berita Harian X