Jumaat, 23 Ogos 2019 | 6:37pm
AHLI Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kanan) melepaskan peserta kembara pada Program Sambutan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 di Dataran Telok Kemang hari ini.

Saya tidak campur tangan - Anwar

PORT DICKSON: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan campur tangan dalam urusan pertukaran kecil jawatan Kabinet yang disahkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.

Presiden PKR itu berkata, keputusan penyusunan semula Kabinet itu hanya boleh dibuat oleh Perdana Menteri.

“Saya sentiasa menegaskan ini (pertukaran kecil Kabinet) hanya hak Perdana Menteri, namun saya percaya beliau sedar akan perlunya kesamarataan daripada setiap parti Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian selepas mengadakan ziarah kebajikan di tiga rumah sekitar Teluk Kemang di sini, hari ini.

Terdahulu beliau turut berkesempatan merasmikan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Dataran Teluk Kemang.

Ditanya pandangannya terhadap prestasi menteri dari parti PKR setakat ini, Anwar berkata mereka sudah melakukan yang terbaik namun masih ada ruang untuk diperbaiki lagi.

“Mereka (menteri) harus sentiasa meningkatkan keupayaan dan terus memberi tumpuan kepada isu ekonomi dan berkaitan kementerian masing-masing,” katanya.

Diminta mengulas mengenai ketidakhadiran beliau dalam pertemuan Perdana Menteri dengan pemimpin PH baru-baru ini, Anwar berkata itu bukan perjumpaan rasmi PH.

“Tun (Dr Mahathir) panggil Jemaah Menteri iaitu menteri yang mewakili PH dalam Kabinet. Satu dua orang pertikai, itu biasalah,” katanya.

Rabu lalu pemimpin PH, Datuk Khairuddin Abu Hassan dalam laman Facebook beliau menuduh Anwar sengaja tidak hadir satu mesyuarat bersama Perdana Menteri.

Bagaimanapun, PKR dalam satu kenyataan menjelaskan jemputan Perdana Menteri diberikan kepada pimpinan PH yang mula-mula terbabit dalam pembentukan Kabinet pada Mei 2018, dan pertemuan itu adalah untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas mengenai hal ehwal perjalanan kerajaan yang menyentuh perkara portfolio dan kementerian.

Mengenai penganjuran himpunan ‘Say No to Zakir Naik’ serta himpunan lain, Anwar menasihati supaya menghentikan penganjuran itu kerana keadaan sudah reda selain tiada keperluan.

“Zakir Naik juga sudah dilarang untuk berceramah di seluruh negara oleh polis.

Orang ramai diharap tidak terpengaruh untuk menyertai himpunan ini bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat sentiasa terpelihara,” katanya.

Berita Harian X