Jumaat, 23 Ogos 2019 | 8:19pm
Presiden MSOH, Khairuddin Hairan. - Foto Akma Bakar

Lapan garis panduan dicadang pastikan GoJek lebih selamat

KUALA LUMPUR: Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) mencadangkan lapan garis panduan yang perlu dipertimbangkan oleh pihak berkuasa sebelum membenarkan perkhidmatan e-hailing GoJek beroperasi dalam negara.

Presiden MSOSH, Khairuddin Hairan, berkata ini bagi memastikan perkhidmatan teksi motosikal itu dapat memberi perlindungan secukupnya kepada penunggang memandangkan tempat kerja mereka di atas jalan raya yang merupakan tempat berisiko tinggi.

“Antara garis panduannya adalah pembawa GoJek wajib mempunyai lesen menunggang motosikal yang sah, sihat tubuh badan dan tidak mempunyai kompilasi penyakit serta menghadiri latihan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan seperti Latihan ‘​Safe Defensive Riding​’​,​” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Turut dicadangkan, pembawa GoJek perlu mempunyai perlindungan insurans diri, berdaftar dan mencarum dengan Pertubuhan​ ​Keselamatan Sosial (PERKESO)​, mempunyai identiti pengenalan diri seperti uniform dan tag nama bagi memastikan​ ​perkhidmatan ini tidak disalahgunakan​ serta ​kenderaan GoJek ditetapkan piawaian khusus untuk had laju pengoperasian.

​”Perkhidmatan GoJek juga dicadangkan mempunyai sistem penarafan yang berkesan seperti perkhidmatan e-hailing Grab terhadap penunggang yang merangkumi sikap selamat dan pematuhan terhadap undang-undang ketika menunggang,” katanya.

MSOSH turut mencadangkan pembabitan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), PERKESO, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) serta persatuan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia dalam kajian pelaksanaan GoJek bagi membantu Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Belia dan Sukan membuat keputusan tepat dalam perkara ini.

Khairuddin berkata, cadangan itu harus dipertimbangkan memandangkan sebarang pengabaian mengenai aspek keselamatan dan kesihatan berkemungkinan menambah lagi statistik kemalangan maut, kecederaan mahupun kemerosotan tahap kesihatan hingga menyebabkan kehilangan keupayaan untuk bekerja di kalangan anak muda ini.

“Golongan ini sangat berisiko kerana lebih 70 peratus maut di Malaysia membabitkan penunggang motosikal. Justeru, pembangunan garis panduan ini adalah salah satu usaha membantu menangani masalah ini.

“MSOSH sentiasa menyokong sebarang inisiatif kerajaan bagi meningkatkan tahap dan taraf sosio-ekonomi rakyat dan negara terutama dalam mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak muda di negara ini, namun mestilah mengambil kira segala aspek terutama perihal keselamatan dan kesihatan yang membabitkan pekerja atau penunggang GoJek,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X