Jumaat, 23 Ogos 2019 | 8:23pm
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran. - Foto Sairien Nafis
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran. - Foto Sairien Nafis

DBP, GAPENA bidas KBS kekalkan MySC

KUALA LUMPUR: Tindakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengekalkan nama Malaysia Sports Challenge (MySC) 2019 walaupun sebagai program di bawah Bulan Sukan Negara bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta mencabul kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran, berkata apa dipertikaikan ialah penggunaan bahasa Inggeris dan bukan hanya berkisar penjenamaan semula Hari Sukan Negara.

Abang Salehuddin berkata, Perkara 152 Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Beliau berkata, bahasa Melayu perlu digunakan sebagai bahasa rasmi negara meliputi wacana lisan dan tulisan pada peringkat persekutuan, negeri, badan berkanun serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Perkara ini jelas bahawa semua perkara berkaitan urusan kerajaan termasuk penamaan jalan atau program perlu menggunakan bahasa kebangsaan kerana ia urusan rasmi dan termaktub dalam Perlembagaan.

“Justeru, pihak kami berharap KBS peka dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Semua pihak perlu mendukung semangat Perlembagaan dan tidak wajar kementerian di bawah Kerajaan Persekutuan mengabaikan perkara ini,” katanya kepada BH di sini, semalam.

Abang Salehuddin berkata, pendirian KBS yang bertegas menggunakan MySC 2019 sebagai inisiatif baharu yang diperkenalkan dalam Bulan Sukan Negara tidak selari dengan Perlembagaan.

“Kita sepatutnya mencontohi negara lain yang sangat menghormati bahasa kebangsaan mereka seperti Jepun, China, Korea dan Thailand.

“Malah, anggapan bahasa Melayu tidak sesuai dengan acara antarabangsa adalah satu penghinaan. Semua pihak sepatutnya berbangga dan tidak memperlekehkan bahasa kebangsaan.

“Justeru, DBP sebagai agensi memartabat bahasa Melayu mahu setiap program kerajaan dan kegiatan bertaraf antarabangsa dibuat secara dwibahasa, iaitu dengan mendahulukan bahasa kebangsaan dan diikuti dengan terjemahan,” katanya.

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan. - Foto Aizuddin Saad
Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan. - Foto Aizuddin Saad

Sementara itu, Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan, berkata KBS perlu menyenaraikan semua program atau aktiviti yang dirangka.

“Selepas menerima kritikan banyak pihak, KBS membuat kenyataan bahawa MySC ialah inisiatif baharu yang diperkenalkan dalam Bulan Sukan Negara dan bukan penjenamaan semula Hari Sukan Negara (HSN).

“Mengapa perkara ini tidak dijelaskan sejak awal dan apakah yang KBS cuba sampaikan?” katanya.

Beliau berkata, alasan penggunaan nama acara kepada bahasa Inggeris kerana isu prestij tidak dapat diterima.

“Menjadi tanggungjawab kementerian dan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta semua pihak berkuasa awam berusaha mempertingkatkan prestij bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“GAPENA mendesak supaya segala tindakan mengaibkan seumpama ini dihentikan kerana negara kita sudah 62 tahun mencapai kemerdekaan.

“Tindakan ini umpama menyambung pemikiran kolonial, sekali gus membuktikan ada warga negara yang masih tidak berjiwa merdeka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, KBS dalam kenyataannya, menjelaskan Bulan Sukan Negara yang diwujudkan mulai tahun ini, hasil inisiatif lanjutan HSN yang disambut selama sehari pada minggu kedua Oktober, sejak 2015.

Pada tahun ini, HSN akan diadakan pada 12 Oktober, manakala MySC bakal berlangsung sepanjang bulan itu menjadi inisiatif yang mendapat sokongan untuk membudayakan sukan dalam sektor korporat.

Dalam usaha menambah baik HSN, KBS menyenaraikan pelbagai aktiviti sempena Bulan Sukan Negara termasuk ekspo sukan dan konvensyen khas wanita dalam sukan serta beberapa aktiviti oleh kementerian dan kerajaan negeri.

Antaranya, kerjasama bersama pihak swasta dalam memberi khidmat dan kemudahan secara percuma atau dalam bentuk diskaun serta program sukan antarabangsa atau kebangsaan yang diberikan kelulusan dan bantuan khas.

Kenyataan itu memaklumkan penambahbaikan dan perubahan konsep lebih kontemporari dan memenuhi keperluan semasa dan menjadi keutamaan terhadap program Bulan Sukan Negara bagi menjamin agenda ‘Sukan Untuk Semua’ kekal relevan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X