Sabtu, 24 Ogos 2019 | 6:03pm

Ganti DEB dengan dasar baharu

KUALA TERENGGANU: Kerajaan perlu merangka pendekatan baharu dalam usaha mengatasi masalah kemiskinan yang merentasi kaum bagi menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilihat mempunyai kelemahan dalam menangani isu itu.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dasar baharu itu perlu lebih berani untuk mengatasi masalah berkenaan yang juga memberi manfaat besar kepada kelompok Melayu dan Bumiputera.

“Kita tidak harus terperangkap dengan kerangka pemikiran lama kerana yang kita mahu ialah satu dasar ekonomi yang boleh membantu mengurangkan beban masyarakat miskin terpinggir, yang majoritinya orang Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai Program Jelajah Presiden PKR ke Terengganu di Bangunan PKR negeri di sini, hari ini. Turut hadir Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail.

Anwar mengulas kenyataan pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa kadar kemiskinan di negara lebih tinggi berbanding 0.4 peratus yang dinyatakan oleh kerajaan.

Kelmarin, Pelapor Khas PBB, Philip Alston, dilaporkan berkata Malaysia perlu menilai semula kadar kemiskinan kerana laporan rasmi bahawa ia hanya pada kadar 0.4 peratus adalah kurang tepat.

Alston berkata kadar kemiskinan sebenar di Malaysia jauh lebih tinggi, hampir sama dengan negara lain iaitu pada kadar kira-kira 15 peratus.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengulas berkaitan laporan itu, semalam, dipetik sebagai berkata kerajaan akan mengkaji laporan PBB dan sedia menyemak semula kaedah mengukur tahap kemiskinan rakyat di negara ini sekiranya diperlukan.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata laporan pakar PBB itu perlu dilihat secara positif dan dikaji.

Malah, katanya, Dr Mahathir turut beri maklum balas yang positif terhadap perkara berkenaan.

“Laporan PBB itu satu kejutan, tetapi kalau kita turun ke bawah, tak adalah terkejut sangat sebab kemiskinan ketara berlaku dalam kalangan masyarakat terutama petani, nelayan, penjaja dan pekerja ladang di estet.

“Itu memang kelihatan. Saya sendiri dalam setiap kunjungan mingguan ke Port Dickson akan pilih rumah orang miskin walaupun mereka tidak tersenarai dalam lingkungan itu, tetapi (orang miskin) ternyata ada. Oleh itu, kita patut lihat laporan itu secara positif dan kaji,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, laporan itu tidak menggambarkan kerajaan gagal dalam membasmi kemiskinan apabila peruntukan besar disediakan antara RM26 bilion hingga RM28 bilion setahun bagi melaksanakan pelbagai program menangani kemiskinan.

“Ini harus mengundang tindakan daripada kita dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan langkah membasmi kemiskinan di negara ini.

“Saya rasa secara positif kita perlu mengambil langkah tambahan menyelesaikan masalah ini merentasi kaum. Walaupun majoriti yang miskin adalah Melayu dan Bumiputera, pendekatan kita berdasarkan keperluan itu terbukti.

“Jika benar kajian PBB itu, ternyata pelaksanaan DEB itu ada satu kelemahan besar. Kita laksanakan tetapi kadar kemiskinan bertambah. Kesenjangan (jurang kekayaan dan kemiskinan) kian melebar.

“Jadi kita harus ada pendekatan baharu dan berani untuk mengatasi masalah kemiskinan merentas kaum yang tentunya akan memberi manfaat besar kepada kelompok Melayu dan Bumiputera kerana kategori paling miskin ini adalah Melayu dan Bumiputera,” katanya.

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di Majlis Perasmian Bangunan Ibu Pejabat PKR Terengganu dan Program Dialog Terbuka di Dewan Besar KEADILAN, Bukit Besar, Kuala Terengganu. - Foto Imran Makhzan
Berita Harian X