Sabtu, 24 Ogos 2019 | 6:46pm
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) bercakap pada program Bicara Kemerdekaan Kedua di Akademi Kenegaraan. - Foto Asyraf Hamzah

Ekosistem perniagaan GoJek meluas

KUALA LUMPUR: Pengenalan GoJek di pasaran negara bukan sekadar menawarkan perkhidmatan teksi motosikal, malah ia perlu dilihat dalam konteks dan ekosistem yang lebih meluas.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata jika dilihat pelaksanaan perkhidmatan motosikal itu di Indonesia dan Thailand, ia dilihat memberi manfaat meluas terhadap pelbagai lapisan masyarakat di situ.

Beliau berkata, antara pihak yang bakal mendapat kesan positif susulan pelaksanaan perkhidmatan GoJek di negara ini adalah seperti peniaga ‘warung tepi jalan’.

“Ada yang kata (pengenalan Gojek) ini bukan cara kita untuk jadikan Malaysia maju. Kenapa secara tiba-tiba mahu fokus motosikal? Tetapi, kita kena lihat bahawa realitinya ekosistem Gojek itu lebih besar.

“Kalau pergi ke Indonesia dan Thailand, boleh tahu perbezaannya. Di sana pasaran lebih besar jika tengok Grab Food dan Food Panda juga merangkumi perkhidmatan tempahan makanan di warung kecil. Grab Food dan Food Panda, kita boleh tempah makan di warung kecil misalnya yang terletak di depan rumah sekalipun.

“Jika di Malaysia, kita tak boleh buat tempahan di warung kecil sekali gus pemilik perniagaan berkenaan tidak dapat manfaat daripada ekosistem yang besar.

“Contohnya, dulu dapat 50 tempahan. Selepas ekosistem itu wujud meningkat empat hingga lima kali ganda. Selepas itu, semua orang di kawasan berkenaan (di Indonesia dan Thailand) boleh tempah dengan mudah. Tetapi Malaysia tak boleh,” katanya ketika hadir di Forum Kemerdekaan Kedua anjuran Akademi Harimau Asia di sini, hari ini.

Pada 18 Ogos lalu, Syed Saddiq berhasrat mahu memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai Gojek.

Pada 21 Ogos, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof memberitahu bahawa Kabinet secara prinsipnya bersetuju terhadap cadangan mewujudkan perkhidmatan GoJek di negara ini.

Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan akan melakukan kajian terperinci terhadap cadangan memperkenalkan perkhidmatan itu.

Berita Harian X