Ahad, 25 Ogos 2019 | 10:16am
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. - Foto BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. - Foto BERNAMA

Agong berangkat ke Indonesia sempena lawatan negara esok

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, akan berangkat ke Indonesia sempena lawatan negara selama empat hari bermula esok hingga Khamis ini.

Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan turut berangkat mengiringi Al-Sultan Abdullah.

“Semasa lawatan negara ini, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan berangkat menghadiri Majlis Sambutan Negara, Majlis Menghadap dan Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Bogor, Jakarta.

“Baginda berdua juga turut berkenan menghadiri Majlis Santapan Malam bersama rakyat Malaysia di Indonesia dan berangkat melawat Masjid Istiqlal di Jakarta,” kata kenyataan itu.

Rombongan lawatan negara itu turut disertai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku menteri pengiring serta pegawai kanan Kementerian Luar, Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan turut berangkat ke Yogyakarta dan mengadakan pertemuan dengan Sultan Yogyakarta dan Gubernur Daerah Istimewa Yogyakarta, Sri Sultan Hamengkubuwono X serta melawat beberapa tempat bersejarah di sana.

“Lawatan negara ini melambangkan keakraban dan keteguhan hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia serta akan menyumbang ke arah mengukuhkan lagi jalinan persahabatan antara kedua-dua negara yang terbina sejak 62 tahun lalu,” kata kenyataan itu. - BERNAMA

Berita Harian X