Ahad, 25 Ogos 2019 | 12:55pm

Jaga kebersihan setempat, cegah denggi - TPM

KUALA LUMPUR: Masyarakat digesa memberi penekanan kepada aspek penjagaan kebersihan setempat dengan sentiasa meneruskan amalan gotong-royong bagi mencegah penularan penyakit seperti denggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata umum sedia maklum mengenai kes denggi yang semakin meningkat jika tidak dikawal.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, terdapat 85,270 kes denggi dilaporkan dari Januari hingga 17 Ogos tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 38,726 kes (83.2 peratus) berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Jangan tunggu sehingga sesuatu musibah menimpa pada ahli keluarga kita untuk mengambil tindakan. Ini adalah kediaman anda, maka jagalah kebersihan dan keselamatannya,” katanya berucap pada program ‘Gotong Royong Cegah Denggi’ di Pangsapuri 610 dekat Ampang, di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, kebiasaannya peningkatan kes denggi di sesuatu kawasan berpunca daripada sikap individu itu sendiri yang kurang menjaga kebersihan.

“Berapa ramai di antara kita yang prihatin menjaga kebersihan persekitaran?

“Tidak perlu pergi terlalu jauh, cuba perhatikan di kediaman kita, rumah kita, pasti ada yang kita terlepas pandang, sebagai contoh air yang bertakung pada bekas yang tidak digunakan, bekas tong, kolah, pasu dan lain-lain,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu komuniti setempat bersama mengambil sikap bertanggungjawab untuk menjaga persekitaran melalui aktiviti gotong-royong.

“Aktiviti gotong-royong tidak bermaksud mendapatkan orang luar untuk datang membersihkan kawasan kediaman saudara saudari. Ia bermaksud ahli masyarakat sesuatu tempat bekerja bersama untuk menjaga kebersihan tempat itu,” katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa supaya mendidik anak-anak mereka sejak kecil lagi mengenai kepentingan menjaga kebersihan bermula dari rumah.

Terdahulu, pada program anjuran Parlimen Pandan dan Rcomm Lestari itu, Dr Wan Azizah turut menyertai penduduk pangsapuri berkenaan mengutip sampah sarap serta membersihkan longkang selain mengambil kesempatan beramah mesra dengan mereka. - BERNAMA

Dr Wan Azizah berucap pada program ‘Gotong Royong Cegah Denggi’ di Pangsapuri 610 dekat Ampang, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X