Ahad, 25 Ogos 2019 | 2:45pm
Lim Guan Eng ketika berucap pada Penyerahan Bendera Jalur Gemilang kepada penduduk Kampung Benggali, Sungai Puyu, Butterworth, hari ini. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Lapor SPRM, KPDNHEP jika tahu kes komplot bida projek kerajaan

BUTTERWORTH: Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat kes komplot bidaan projek kerajaan hingga menyebabkan ketirisan dana awam, perlu melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata laporan sama juga boleh dibuat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) adalah di bawah seliaan kementerian itu.

Katanya, tindakan juga perlu diambil ke atas kartel membabitkan kumpulan kontraktor yang cuba mengawal harga supaya memihak kepada syarikat mereka, sekali gus mewujudkan persaingan tidak sihat di pasaran dalam negara.

"Mana-mana bidaan perlu ikut anggaran supaya ia lebih sepadan atau sama dengan harga pasaran, tetapi tindakan perlu diambil ke atas mana-mana pihak jika berlaku penyelewengan.

"Kebiasaannya kita ada value engineering (kejuruteraan nilai) untuk pastikan harga munasabah dan dalam hal ini mereka (pihak kejuruteraan nilai) harus lakukan (untuk pastikan harga tidak melambung)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

BH Ahad dalam laporan eksklusif hari ini mendedahkan, sekurang-kurangnya 10 projek kerajaan bernilai jutaan ringgit kini disiasat MyCC kerana kontraktor memenangi tender itu disyaki berkomplot dalam proses bidaan.

Siasatan itu dibuat susulan aduan dan maklumat diterima MyCC mengenai taktik kontraktor dan pembekal yang membentuk komplot dalam pakatan untuk membuatkan sesuatu nilai kontrak itu menjadi tinggi.

Mac lalu, MyCC mengambil tindakan ke atas lapan syarikat teknologi maklumat kerana terbabit dengan komplot bidaan terhadap beberapa tender ditawarkan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), sekali gus muncul sebagai kes pertama.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng berkata, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) akan menjalankan penilaian terperinci berhubung projek memindahkan air mentah dari Sungai Perak ke Pulau Pinang.

Beliau berkata, penilaian projek Skim Pemindahan Air Mentah Sungai Perak dengan usaha sama pihak swasta dan awam itu akan dijalankan secara tender terbuka menerusi permohonan cadangan (RFP).

"Projek ini adalah usaha sama awam dan swasta yang akan membabitkan perbelanjaan lebih RM1 bilion. Isu ini sudah lama dibangkitkan kerajaan Pulau Pinang dan memandangkan ada perkembangan terkini jadi kita mahu ia dibincangkan.

"Saya percaya Perak bersedia untuk mendengar pandangan dan cadangan disyorkan. Apa yang penting adalah ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua negeri dan ia tentu menjadi prasyarat kerana kita nak formula menang-menang supaya kedua-dua negeri boleh menikmati hasilnya," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata cadangan dan syor bakal dikemukakan itu akan dibincangkan untuk mendapatkan persetujuan kedua-dua negeri sebelum tindakan seterusnya diambil.

"Kita mesti dapat satu persetujuan supaya apa yang dicadangkan boleh diputuskan dengan cepat supaya sumber ini dapat dilindungi dan dikekalkan.

"Kita ada terima cadangan daripada pihak swasta sebab itu kita kena majukan dengan adakan perbincangan supaya kita tahu apakah kaedah yang dipersetujui. Selepas kaedah itu dipersetujui baru kita boleh mulakan kerja-kerja susulan," katanya.

12926 dibaca
Berita Harian X