Ahad, 25 Ogos 2019 | 7:22pm
PESURUHJAYA SPRM, Latheefa Koya. - Foto Rozainah Zakaria

SPRM terima banyak aduan monopoli tender

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui menerima banyak laporan berkaitan penipuan dan monopoli membabitkan tender serta perolehan kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata ia tidak boleh didedahkan kerana dibimbangi mengganggu siasatan.

“Mesti ada laporan. Banyak kes berbentuk perolehan dan tender tetapi kita tidak boleh maklumkan sehingga dapat melakukan tindakan terbabit.

“Sekiranya dimaklumkan, dibimbangi orang yang kita sasarkan akan lari. Oleh itu kita tidak boleh berkongsi maklumat terbabit,” katanya kepada pemberita pada Program Gohek Beskal & Khabak Merdeka 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah SPRM Terengganu, Mohd Zaki Hassan.

BH Ahad hari ini mendedahkan, sekurang-kurangnya 10 projek kerajaan bernilai jutaan ringgit kini disiasat Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kerana kontraktor memenangi tender itu disyaki berkomplot dalam proses bidaan.

Siasatan itu dibuat susulan aduan dan maklumat diterima MyCC mengenai taktik kontraktor dan pembekal yang membentuk komplot dalam pakatan untuk membuatkan sesuatu nilai kontrak itu menjadi tinggi.

Terdahulu, Latheefa melepaskan 150 peserta membabitkan anak muda dalam program kayuhan dan mendaki bukit sebahagian daripada program menolak rasuah dan sempena bulan kemerdekaan.

Malah, Latheefa turut mengambil bahagian mendaki Bukit Besar setinggi 156 meter dan memacakkan papan tanda pencegahan rasuah di puncak bukit terbabit.

2039 dibaca
Berita Harian X