Selasa, 27 Ogos 2019 | 7:22pm
Dr Maszlee Malik (tengah) melawat pameran selepas Majlis Perasmian Pembukaan Persidangan Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan Kebangsaan (PPIPK) dan Pesta Buku Institut Pendidikan Guru (PBI) 2019 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Pulau Pinang. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Jangan emosi dengan isu khat, Jawi - Maszlee

GEORGETOWN: Kementerian Pendidikan meminta semua pihak bersikap rasional berhubung isu pengenalan tulisan khat dan Jawi dalam subjek Bahasa Melayu bagi murid Tahun 4, yang akan dilaksanakan tahun depan.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata tindakan sesetengah pihak yang beremosi sehingga sanggup memperjudikan masa depan kanak-kanak dilihat hanya akan merugikan negara.

“Saya sekali lagi meminta semua pihak kembali kepada rasional dan jangan mengikut perasaan semata-mata.

“Pendidikan adalah perkara penting. Nasihat saya, kembali kepada realiti kerana sekolah adalah tempat paling selamat untuk kanak-kanak,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pembukaan Persidangan Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan Kebangsaan (PPIPK) dan Pesta Buku Institut Pendidikan Guru (PBI) 2019 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melabel Pasukan Bertindak Seni Khat (SEKAT) sebagai bodoh sombong ekoran ugutan kumpulan itu untuk tidak menghantar anak ke sekolah kerana membantah pembelajaran Jawi.

SEKAT membuat desakan itu Ahad lalu, bagi memohon kerajaan mengadakan perbincangan terlebih dulu dengan mereka berkaitan pembelajaran Jawi di sekolah vernakular.

Sementara itu, Maszlee berkata, pihaknya bercadang menganjurkan kempen Malaysia Membaca pada peringkat kebangsaan dalam usaha menjadikan ia gaya hidup masyarakat.

Katanya, ia akan dijalankan dengan mengajak seluruh rakyat Malaysia memperuntukkan sedikit waktu untuk membaca bersama seperti penganjuran kempen Quran Hour.

“Kita harap dapat menganjurkan lebih banyak program bacaan, seperti program Malaysia Membaca pada peringkat nasional.

“Sebagai contoh, mungkin kita boleh memperuntukkan waktu kira-kira setengah jam untuk membaca, sama seperti program Quran Hour yang pernah dianjurkan sebelum ini,” katanya.

Maszlee berkata, kajian dilakukan sebuah agensi turut menunjukkan tabiat membaca dalam kalangan kanak-kanak di negara ini semakin meningkat saban tahun.

“Bagaimanapun, apa yang kita titik beratkan adalah jenis bahan bacaan mereka kerana bahan bacaan berkualiti dapat diterjemahkan ke arah pembangunan negara,” katanya.

Berita Harian X