Rabu, 28 Ogos 2019 | 3:11pm
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. - NSTP/Syamsi Suhaimi

Isu royalti perlu rujuk Guan Eng - Mohd Amar

KOTA BHARU: Kerajaan negeri yakin pembayaran royalti akan dibuat oleh Kerajaan Pusat berdasarkan maklum balas positif pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata bila bayaran royalti itu akan dibuat, ia perlu dirujuk kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Saya pernah sebut, sekarang ini pembayaran royalti terletak pada Kementerian Kewangan kerana mereka yang akan mengeluarkan cek bayaran.

“Jadi kita difahamkan tersangkut di Kementerian Kewangan. Perdana Menteri sendiri sebelum ini memaklumkan akan bayar royalti, malah dalam mesyuarat majlis kewangan negara pun sudah disahkan perkara itu. Jadi sekarang ini apa masalah lagi?

“Isu sekarang tentunya ada di Kementerian Kewangan kerana di pihak kita ia sudah selesai. Jadi sebaiknya tanya Menteri Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, kerajaan negeri kini mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung isu royalti.

“Sebelum ini pun sudah dua kali Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, pergi berjumpa dengan Perdana Menteri. Jadi, kita tengoklah macam mana,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan kerajaan Kelantan menarik balik saman terhadap PETRONAS berhubung tuntutan royalti minyak, sekali gus menyelesaikan kes yang difailkan sejak 2010.

Peguam, Aleeya Elyana Ahmad Mahreez, yang mewakili kerajaan negeri itu, berkata pihaknya sudah menarik balik saman melalui notis untuk tidak meneruskan tuntutan berkenaan pada 13 Mei lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada sebarang arahan berhubung kes saman sama yang difailkan terhadap Kerajaan Persekutuan selaku defendan kedua.

Berita Harian X