Khamis, 29 Ogos 2019 | 3:46pm
PESARA tentera Pegawai Waren II (PWII) Mohd Noor Yaacob menunjuk bekas peluru yang terkena di lengan tangan kanannya dalam operasi tembak menembak dengan komunis semasa perjajahan Jepun tahun 1965 di Serian, Sarawak ketika ditemui di KPJ Perdana Specialist Hospital Kota Bharu. NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Kutip cebisan mayat rakan seperjuangan yang terkorban

KOTA BHARU: Pengalaman mengutip cebisan mayat rakan seperjuangan yang terkorban dalam pertempuran dengan komunis, antara yang paling tidak dapat dilupakan pesara tentera, Pegawai Waren II (PWII) Mohd Noor Yaacob.

Mohd Noor, 84, berkata seramai 14 rakannya terbunuh dalam serangan hendap komunis di Kampung Pasir Lundu, Sarawak pada 1970.

Katanya, kesemua rakan yang terkorban itu dalam perjalanan pulang selepas menghantar barang catuan ke kem lain apabila mereka diserang hendap oleh komunis.

“Selepas mengetahui insiden itu, saya bersama anggota lain diarahkan untuk membantu mereka dan apabila sampai di kawasan mereka diserang hendap, kelihatan mayat rakan bergelimpangan.

MOHD NOOR menceritakan detik gembira setelah menerima askar pertama yang mendapat titah daripada Yang Dipertuan Agong (YDPA) ketujuh, Al-Marhum Tuanku Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'Ayatuddin Al-Mu'adzam Shah untuk menyambung tempoh perkhidmatan sehingga umur 50 tahun semasa baginda berkenan membuat lawatan pada Latihan Gonzales 2 di Kuala Dungun 12 Februari 1980 ketika ditemui di KPJ Perdana Specialist Hospital Kota Bharu. NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

“Bagaimanapun, ada yang terselamat dan paling tragis apabila saya memasukkan semula biji mata seorang rakan bernama Seman yang terkeluar dan dibawa balik ke kem untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Mohd Noor ditemui pada sambutan Ambang Kemerdekaan 2019 yang dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Perdana Kota Bharu, Zawari Abdullah, di sini, hari ini.

Bapa 10 anak yang memiliki 11 cucu dan dua cicit itu berkata, demi mempertahankan negara, terdapat dua peluru penabur yang masih tertanam di bawah siku kirinya selepas ditembak curi oleh komunis di Serian, Sarawak pada 1965.

“Ketika diserang, saya langsung tidak berasa sakit sehingga uniform ditanggalkan dan ketika itu jugalah saya melihat selain siku, terdapat beberapa biji peluru penabur terkena pada belakang badan.

“Namun, peluru penabur yang terkena di belakang badan dicungkil keluar menggunakan pisau kerana hanya terkena pada kulit sahaja,” katanya.

Mohd Noor berkata, lebih membanggakan lagi dia adalah askar pertama yang mendapat titah daripada Yang di-Pertuan Agong ketujuh, Al-Marhum Tuanku Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'Ayatuddin Al-Mu'adzam Shah untuk menyambung tempoh perkhidmatan sehingga umur 50 tahun.

“Saya menerima titah berkenaan ketika baginda membuat lawatan pada latihan Gonzales 2 di Kuala Dungun pada 12 Februari 1980.

“Pada ketika itu, saya sedang menjalani latihan pertempuran dan baginda sempat berbual mesra dengan saya dan bertanyakan tempoh perkhidmatan dalam angkatan tentera,” katanya.

Katanya, dia kemudiannya memberitahu baginda, selepas tamat latihan itu, dia akan bersara dan pulang ke kampung kerana sudah mencapai umur 45 tahun.

“Kemudian baginda terus menitahkan kepada jeneral pada ketika itu, supaya menyambung tempoh perkhidmatan saya lima tahun lagi dan ia berkuat kuasa pada hari berkenaan,” katanya.

Katanya, dia mula berkhidmat dalam angkatan tentera pada usia 18 tahun dengan Tentera British, kemudian Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1958 hingga 1970 sebelum bersara pada 1985.

“Darah satria yang mengalir dalam tubuh saya ini turut diwarisi dua anak lelaki serta menantu,” katanya.

Menurutnya, banyak pengorbanan yang dilakukan oleh anggota tentera termasuk mengorbankan nyawa demi mengisi kemerdekaan negara.

“Benarlah kita merdeka tanpa titisan darah, namun selepas merdeka anggota tentera kita bersusah payah terutama apabila berhadapan dengan komunis, setiap hari askar kita diserang hendap di sana sini.

“Justeru itu, saya menasihatkan kepada generasi muda pada hari ini supaya menghargai keamanan yang dikecapi dan jangan sesekali melakukan perkara yang boleh menjejaskan kemerdekaan negara,” katanya.

Berita Harian X