Sabtu, 31 Ogos 2019 | 9:44am

Jiwa merdeka beri kejayaan PLUS

Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) adalah tulang belakang kepada sistem perhubungan di seluruh semenanjung Malaysia yang menjadi teras kepada pembangunan negara.

Lebuhraya ini yang dirasmikan pada 8 September 1994 tidak akan berkembang pesat tanpa sokongan kakitangan yang komited dalam memastikan sistem perhubungan ini sentiasa lancar dan terkawal, sekali gus dapat menyatupadukan seluruh rakyat di Semenanjung tanpa mengira kaum dan agama.

Kejayaan PLUS hari ini lahir dari jiwa yang merdeka dalam kalangan kakitangannya yang sentiasa mahukan kemajuan, kesejahteraan, keterbukaan dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Bagi Azalan Sulaiman yang berkhidmat dengan PLUS sejak 1998, pembabitannya dalam pembinaan persimpangan bertingkat membabitkan Bukit Gambir, Sungai Buaya, Bandar Ainsdale, Alor Pongsu dan Bandar Serenia menjadi mercu tanda dalam kerjayanya.

Azalan yang kini menjawat Ketua Mekanikal, Elektrik dan Elektronik, berkata tanggungjawab diberikan untuk melakukan kerja menaik taraf laluan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Nilai adalah tugasan mencabar untuknya sepanjang bersama PLUS.

“Bersama PLUS, saya bertugas dalam satu keluarga besar membabitkan pelbagai kaum dan bangsa.

“Bekerja dalam satu kumpulan besar, kita perlu menghormati antara sama lain dan bekerja bersama tanpa mengira siapa mereka.

“Tanpa kerjasama, hormat menghormati antara kakitangan pasti matlamat pengurusan atau syarikat tidak akan tercapai,” katanya.

Sebagai rakyat Malaysia, Azalan memilih prinsip perlembagaan kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan, dekat dengan dirinya.

“Kita hidup berbilang bangsa, malah di kampung sekali pun dapat pelbagai bangsa dan kaum dan kita patut belajar dan faham budaya mereka. Kalau kita tak hormat mereka, kita pun tak dihormati.

Dalam menyambut Kemerdekaan ke-62, Azalan berkata, tiada erti kemerdekaan jika jiwa tidak merdeka.

Katanya, tiada erti merdeka sekiranya seseorang itu tidak memerdekakan diri mereka dari segi pemikiran dan tidak merebut peluang. Merdeka itu adalah berkongsi peluang bersama semua rakyat Malaysia.

Oslan Mohamed Isa, 53, pula menyifatkan merdeka pada perspektif masa kini, iaitu kebebasan dalam membuat pilihan dalam menentukan arah.

Kebebasan untuk membuat pilihan dalam bertindak dan bertindak balas antara satu sama lain, itulah yang diamalkannya setiap hari,

Sebagai Ketua Keselamatan Trafik, Oslan yang berkhidmat 21 tahun bersama PLUS, berkata, kita perlu berfikir sebelum bertindak bagi mengelak berlakunya masalah.

Bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan pengguna lebuhraya, setiap aduan yang datang perlu didengar dengan teliti.

“Apabila mendapat panggilan daripada pengguna, saya lebih banyak mendengar dan kurangkan bercakap. Ada sesetengah pengguna menghubungi kita untuk meluah.

“Jadi, kalau kita pun ikut sama membalas dan melawan bercakap dengan pengadu, ia tidak akan membantu menyelesai masalah yang mereka hadapi.

“Selepas mendengar aduan, kita akan ambil perhatian di atas permasalahan yang diadu.

“Sekiranya ada pandangannya yang baik dan boleh diambil untuk tingkatkan perkhidmatan, kita akan beri perhatian. Kalau kita rasa ada pendapat bahawa tanggapan pengguna silap, kita boleh sampaikan juga tetapi dengan cara berhemah,” katanya yang menerajui lebih 100 kakitangan di bawahnya.

Sempena sambutan merdeka kali ini Oslan berharap, pengguna lebuhraya lebih berhati-hati dan sentiasa ingatkan orang yang tersayang.

Sementara itu, Pengurus Audit Dalaman, Georgian Pamela Dannis, 41, berharap lebih ramai kakitangan berlainan latar belakang di jabatannya pada masa akan datang kerana lebih banyak kaum akan menjadikan suasana kerja lebih harmoni.

“Jika dilihat pada peringkat mikro, hanya ada dua kaum di jabatan saya iaitu Melayu dan India. Kami berharap, pada masa akan datang akan ada kakitangan berbangsa Cina atau lain-lain latar belakang di tempatkan di jabatan ini,” katanya.

Bagi mengeratkan hubungan antara kakitangan pelbagai aktiviti diadakan seperti hari keluarga, mesyuarat dan riadah.

Memilih rukun negara kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan dekat dengan diri, Georgian berkata, kebebasan saling menghormati antara satu sama lain di PLUS penting dalam membentuk suasana aman dan harmoni ditempat kerja.

“Saya sangat sayangkan negara ini, saya tidak mahu berlaku perkara buruk atau kesan negatif terjadi yang menyebabkan wujudnya perpecahan dalam kalangan kita.

Pengurus Perancangan dan Pembangunan Strategik, Sean Ngoh Sze Yuan, 35, pula berkata, mengekalkan keamanan kebebasan dan bersabar terutama di tempat kerja akan memberikan seseorang itu bebas dari segi kewangan,

“Jika anda bersabar sepenuhnya di tempat kerja, pastinya akan akan mendapat apa saja selepas itu.

“PLUS bagaikan mini Malaysia kerana mempunyai ramai pekerja dan masing-masing daripada pelbagai bangsa,” katanya.

Berita Harian X