Sabtu, 31 Ogos 2019 | 11:47am
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat pada acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2019 yang bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih di Dataran Putrajaya hari ini.
 - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi tabik hormat kepada Rejimen Askar Melayu Diraja pada sambutan Hari Kebangsaan 2019 bertemakan "Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih" di Dataran Putrajaya hari ini.
 - Foto BERNAMA
Perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 bertemakan "Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih" berlangsung dengan meriah di Dataran Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA
Orang ramai membanjiri Dataran Putrajaya bagi menyaksikan acara perbarisan dan perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-62 yang bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih hari ini. - Foto BERNAMA
Peserta mengibarkan Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Semangat patriotik membara

PUTRAJAYA: Meriah, berwarna-warni dan disulami semangat patriotik membara!

Begitulah gambaran suasana di Dataran Putrajaya yang dibanjiri rakyat pelbagai kaum dan usia bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2019, hari ini.

Sebahagian pengunjung termasuk yang datang bersama keluarga seawal jam 6 pagi tadi, menggayakan busana bercorak Jalur Gemilang, serta mengibarkan bendera Malaysia dengan bersemangat walaupun acara utama belum bermula.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini yang bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih itu kali kedua berturut-turut diadakan di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, iaitu selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormat semasa berangkat ke acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan ke-62 di Dataran Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (dua, kanan) bergambar bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) dan suami Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kiri) ketika menghadiri acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan ke-62 di Dataran Putrajaya hari ini. Turut sama Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (kanan) dan isteri Sangeeta Kaur Sidhu. - Foto BERNAMA

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar turut berangkat menghadiri sambutan.

Yang turut hadir, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memandu sendiri sebuah Proton Saga berwarna merah hati; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim; barisan menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan serta pemimpin parti politik.

Sejurus keberangkatan baginda, Al-Sultan Abdullah memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dibarisi 107 pegawai dan anggota Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja, diketuai Mejar Shaiful Amir Omar.

Sambutan kemudian diteruskan dengan nyanyian Negaraku, disusuli acara menaikkan Jalur Gemilang, diiringi 14 das tembakan meriam yang melambangkan 14 negeri oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja diketuai Mejar Asri Che Wil.

Ia diikuti bacaan ikrar Rukun Negara dan laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali oleh Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Zuhairie Abu Bakar serta 62 pembaca ikrar.

Acara dimeriahkan lagi dengan persembahan khas ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ membabitkan 1,627 peserta, terdiri kumpulan kesenian mewakili pelbagai agensi dan persatuan.

Acara perbarisan dan perarakan di Persiaran Perdana sejauh 3.2 kilometer itu bermula pada jam 8.40 pagi, didahului perarakan masuk Kontinjen Kenegaraan iaitu pembawa Jalur Gemilang, bendera negeri dan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang, melintasi pentas utama.

Perarakan membabitkan 17,353 peserta itu dimulakan oleh kontinjen perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.

Kakitangan kumpulan Media Prima Berhad (MPB) turut mengambil bahagian dalam perarakan berkenaan di bawah kontinjen GLC dan sektor swasta.

Seperti tahun sebelumnya, sambutan turut memukau penonton melalui segmen pertunjukan lebih 284 aset milik pasukan keselamatan dan ketenteraman awam negara, termasuk polis, tentera, bomba serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Paling mengujakan, pertunjukan terbang lintas pesawat udara dan helikopter yang menggegarkan ruang udara Putrajaya membabitkan 22 helikopter, sembilan pesawat angkut dan 24 pesawat pejuang.

Acara selama dua jam itu diakhiri dengan persembahan lagu ‘Kita Punya Malaysia’ oleh penyanyi, Sam Bunkface, sebelum Yang di-Pertuan Agong dan tetamu kehormat berangkat meninggalkan majlis.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X