Ahad, 1 September 2019 | 1:39pm
NAIB Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Asyraf Hamzah

Tubuh suruhanjaya kaji semula dasar, undang-undang penyalahgunaan dadah - MCPF

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi mengkaji semula dasar dan undang-undang berkaitan penyalahgunaan dadah di negara ini.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata suruhanjaya itu perlu dianggotai pemimpin tertinggi agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar bagi mengkaji pendekatan lebih rasional dalam usaha menangani masalah berkenaan.

“Pendedahan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, baru-baru ini, bahawa penggunaan dadah di negara ini berada pada tahap kritikal, menunjukkan betapa serius masalah terbabit, selain membuktikan kegagalan kita menanganinya.

“Lebih membimbangkan, masalah dadah turut membabitkan anggota polis. Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), lebih 100 anggota dan pegawai polis dikesan positif dadah dalam Op Blue Devil sejak 13 Ogos hingga hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, suruhanjaya terbabit boleh melakukan analisis menyeluruh mengenai kegagalan pelbagai program dan inisiatif dalam menangani isu dadah yang selama ini hanya menumpukan penahanan serta menghukum penagih.

Selain itu, beliau berkata, ia perlu mengambil kira cadangan untuk dekriminalisasi penagih dadah kerana mereka tidak seharusnya dilihat sebagai penjenayah tetapi pesakit yang perlu dirawat dan dipulihkan.

“Bagaimanapun, langkah ini bukan bermakna kerajaan ingin menggalakkan penyalahgunaan dadah kerana pengedaran dadah akan kekal sebagai jenayah,” katanya.

Beliau berkata, suruhanjaya itu juga perlu mengkaji isu terkini seperti kemasukan dadah sintetik dan mencari jalan untuk membanterasnya kerana sindiket serta pengedar dadah kini menyasarkan generasi muda, termasuk pelajar.

“Kita perlu ingat, kerajaan membelanjakan lebih RM500 juta untuk memenjarakan penagih dadah yang terbabit jenayah ringan pada 2017, dan lebih RM200 juta lagi bagi menangkap serta menanggung penagih dadah di pusat pemulihan pada tahun sama,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kos dan jumlah penagih dadah yang tinggi itu menunjukkan negara gagal dalam usaha memerangi dadah selama ini.

Berita Harian X