Rabu, 4 September 2019 | 1:52pm
Mejar Mohd Zahir Armaya disahkan meninggal dunia selepas tertembak ketika melakukan demonstrasi keupayaan sempena gimik penubuhan Divisyen Kelima Infantri Malaysia, pagi tadi.
Mejar Mohd Zahir Armaya disahkan meninggal dunia selepas tertembak ketika melakukan demonstrasi keupayaan sempena gimik penubuhan Divisyen Kelima Infantri Malaysia, pagi tadi.

Menteri Pertahanan zahirkan simpati, ucap takziah

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, mengesahkan insiden pegawai tentera, Mejar Mohd Zahir Armaya, maut ketika melakukan demonstrasi keupayaan sempena gimik penubuhan Divisyen Kelima Infantri Malaysia, pagi tadi.

Beliau sekali gus menzahirkan rasa simpati mendalam dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham yang juga pegawai komando 11 Rejimen Gerak Khas.

“Allahyarham yang juga anak kepada seniman veteran tanah air, A R Badul, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, pada jam 9.20 pagi tadi.

“Saya berharap keluarga Allahyarham tabah menghadapi suasana pilu ini dan kami di Kementerian Pertahanan amat bersimpati atas kesedihan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu sehingga laporan bedah siasat dilengkapkan.

“Saya juga berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehingga laporan bedah siasat selesai bagi menghormati keluarga Allahyarham,” katanya.

Pasukan perubatan anggota tentera ketika memberi rawatan awal kepada seorang pegawai tentera Grup Gerak Khas, yang dipercayai tertembak ketika membuat aksi gimik sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah, hari ini. Mangsa dikenali sebagai Mejar Mohd Zahir Armaya, yang juga anak kepada pengarah dan pelakon AR Badul, bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, untuk mendapatkan rawatan. - Foto BERNAMA

Terdahulu, BH Online melaporkan acara pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia, Tentera Darat Malaysia (TDM), di Kem Lok Kawi, Sabah, pagi tadi, bertukar tragedi apabila salah seorang pegawai yang melakukan gimik ketika demonstrasi keupayaan maut terkena tembakan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 pagi apabila mangsa berlakon sebagai pengganas sambil memakai baju kalis peluru dan ditembak.

Bagaimanapun, tembakan itu menyebabkan mangsa rebah berlumuran darah sebelum diberi bantuan kecemasan oleh anggota tentera lain dan dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X