Rabu, 4 September 2019 | 4:43pm
Ejen tertentu dikatakan bergerak aktif ’merekrut‛ pelajar seawal mereka memperoleh keputusan SPM dengan janjikan pelbagai tawaran menarik, termasuk penerimaan kemasukan daripada universiti asing walaupun tidak memenuhi syarat kelayakan. - Foto hiasan

Ejen 'rekrut' calon doktor

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan mengurangkan pelajar tajaan biasiswa ke luar negara menyebabkan perunding pendidikan atau ejen terpaksa beralih kepada pelajar kolej swasta untuk mengikuti kursus perubatan di universiti antarabangsa, walaupun tidak berkelayakan.

Sejak beberapa tahun lalu, ejen berkenaan dikatakan menjanjikan pelbagai tawaran menarik, termasuk penerimaan kemasukan daripada universiti asing walaupun kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak memuaskan serta yuran pengajian dan kos sara hidup yang rendah, bagi menarik ramai pelajar dan ibu-bapa memilih universiti luar negara.

Malah, ejen ini dikatakan mula aktif ‘merekrut’ pelajar seawal mereka memperoleh keputusan SPM. Tawaran serupa turut dijanjikan kepada pelajar kolej swasta yang mengikuti kursus praperubatan atau prasains.

Ejen berkenaan memanfaatkan kedudukan sebagai perunding yang ada hubungan dengan Kementerian Pendidikan untuk akses mudah ke kolej swasta dan mengadakan pameran di luar negara, termasuk dalam bidang perubatan walaupun dengan kelulusan SPM yang lebih rendah. Ejen sama dikatakan menguruskan pelajar tajaan JPA dan MARA ke universiti luar negara sebelum ini.

Wartawan BH turut membuat penyamaran dan berinteraksi dengan satu daripada ejen berkenaan yang mengakui, pihaknya mampu menguruskan pelajar yang tidak berkelayakan dari segi akademik untuk menjadi doktor.

Kata ejen berkenaan, pelajar yang tidak berkelayakan itu akan terus dihantar ke Kursk State Medical University di Russia dengan bayaran sekitar RM45,000.

“Pelajar lepasan SPM tidak perlu membuat foundation di negara ini sebaliknya terus membuat praperubatan di sana selama setahun seterusnya menyambung pengajian peringkat Ijazah.

“Untuk kursus praperubatan ini, hanya perlu membayar kira-kira RM40,000 yang merangkumi yuran, asrama, insurans, dokumentasi, visa dan tiket penerbangan,” katanya.

Ejen lain pula ketika ditanyakan mengenai isu tidak memenuhi syarat Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN) atau No Objection Ceritificate (NOC) daripada Kementerian Pendidikan, menasihatkan wartawan untuk tidak bimbang mengikuti pengajian perubatan di universiti luar negara kerana mereka menggunakan sistem berbeza berbanding di Malaysia.

Pelajar Malaysia yang mahu melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di luar negara disyaratkan mendapat SSLN daripada Kementerian Pendidikan sebelum memohon tajaan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau MARA.

Untuk mendapat SSLN, lulusan SPM mesti mendapat sekurang-kurangnya B dalam lima subjek teras Sains iaitu Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Biologi serta Kimia.

Untuk menyedapkan hati wartawan supaya turut sama mengikuti pengajian perubatan di luar negara, ejen itu menjelaskan setiap tahun kira-kira 100 pelajar Malaysia dibawa pihaknya melanjutkan pengajian di Russia.

Semalam BH mendedahkan, sesetengah lulusan SPM dikatakan sanggup mengeluarkan belanja besar, untuk mengikuti kursus perubatan di universiti luar negara walaupun tidak memenuhi kelulusan minimum ditetapkan kerajaan.

Sebagai ‘jalan pintas’ pelajar daripada keluarga berkemampuan mengeluarkan belanja sendiri mengikuti pengajian perubatan di universiti luar negara walaupun majoriti mereka tidak memenuhi syarat SSLN.

Sementara itu, satu lagi sumber mendedahkan, majoriti ejen menjanjikan kos pengajian di Russia sekitar RM30,000 sahaja sedangkan jumlah sebenar mencecah RM300,000 bagi setiap pelajar.

“Realiti belajar di luar negara berbeza dengan janji manis ejen kerana pada tahun pertama sahaja kos pengajian pelajar di negara itu boleh mencecah RM80,000 dengan yuran pengajian sahaja adalah RM30,000.

“Gambaran yang diberikan adalah jauh sekali berbeza. Kos hidup di negara asing khususnya Russia adalah terlalu tinggi. Itu belum lagi termasuk mark up harga oleh ejen untuk untung mudah,” katanya.

Beliau berkata, tidak ramai yang menyangka akan berdepan dengan kos yang tinggi apabila belajar di luar negara walaupun mereka daripada golongan berkemampuan.

“Ramai ibu bapa yang berkemampuan menghantar anak mereka mengikuti kursus perubatan kerana berasa mampu menanggungnya, tetapi selepas beberapa tahun mereka sedar bahawa kosnya adalah sangat tinggi.

“Disebabkan itu banyak kes ibu bapa yang terpaksa berhutang hingga RM300,000 untuk memastikan anak mereka tamat belajar malah ada yang meminta ihsan pelbagai pihak termasuk meminta derma orang ramai,” katanya.

Berita Harian X