Khamis, 5 September 2019 | 9:16am

Jenazah Mejar Mohd Zahir selamat dikebumi

IPOH: Jenazah Mejar Mohd Zahir Armaya yang meninggal dunia akibat terkena tembakan dalam demonstrasi di Kem Lok Kawi, Sabah, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, di sini, jam 8.45 pagi tadi.

Jenazah Mohd Zahir dikebumikan dengan penuh istiadat ketenteraan dalam suasana sayu dan pilu dengan dihadiri kira-kira 2,000 tetamu termasuk ahli keluarga, sanak-saudara dan rakan terdekat.

Suasana mendung dan gerimis selepas hujan lebat awal pagi, mengiringi pengebumian jenazah yang bermula kira-kira jam 8.20 pagi.

Bacaan talkin disempurnakan Pegawai Agama Markas 2 Briged, Leftenan Kolonel Titan Abdul Wahab.

Selesai bacaan talkin, bapa arwah yang juga pelawak dan pelakon veteran, AR Badul, 70, atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie, dan isteri arwah, Nour Shafinar Harun, 31, serta anak-anak menyiram air dan menabur bunga di pusara.

Nour Shafinar kemudian turut menerima bendera Jalur Gemilang yang disampaikan Pegawai Memerintah Rejimen 11 Gerak Khas, Kolonel Zulkinine Mohd Yunus.

Kelihatan beberapa ahli keluarga dan rakan seperjuangan Mohd Zahir sebak dan mengalirkan air mata sebaik sahaja jenazah selamat disemadikan.


Nourshafinar Harun isteri Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya. - NSTP/Abdullah Yusof

Turut hadir memberi penghormatan, Panglima 21 Grup Gerak Khas (GGK), Mejar Jeneral Datuk Hasan Ali dan Panglima 2 Briged, Brigadier Jeneral Malek Razak Sulaiman.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke tanah perkuburan berkenaan dari kediaman ibu mentuanya di Taman Perpaduan, Tambun, di sini pada jam 7.45 pagi.

Terdahulu, jenazah Mohd Zahir dibawa keluar dari Masjid Al Fatih, Kem Wardieburn, Setapak, Kuala Lumpur pada jam 2.23 pagi dengan disolatkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Pengurusan (TKPP), Brigadier Jeneral Datuk Mustafa Abdul Manap sebelum dibawa ke Ipoh dan disolatkan sekali lagi di rumah keluarga isterinya.


Jenazah Allahyarham Mejar Mohd Zahir dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Tambun, Ipoh untuk dikebumikan. - NSTP/Abdullah Yusof

Semalam, BH melaporkan Mohd Zahir, 36, yang bertugas sebagai pegawai Komando 11 GGK di Kem Sungai Udang, Melaka, maut terkena tembakan dalam demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, dalam kejadian pada jam 8.40 pagi.

Arwah yang mempunyai lima anak berusia antara lima bulan hingga sembilan tahun, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth pada jam 9.28 pagi.

11060 dibaca
Jenazah Mejar Mohd Zahir Armaya yang maut tertembak ketika membuat aksi gimik sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah, semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, Ipoh.
Berita Harian X