Khamis, 5 September 2019 | 6:39pm
PEGAWAI Memerintah Rejimen 11 Gerak Khas, Zulkinine Yunus menyerahkan Jalur Gemilang kepada balu Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, Nourshafinar Harun sebagai tanda keperwiraan kesatria di Tanah Perkuburan Islam Tambun, Ipoh. Turut hadir pelakon dan pelawak, AR Badul. - Foto Abdullah Yusof

Perginya Mohd Zahir lebih hebat dari saya - AR Badul

IPOH: Pelakon veteran yang juga bapa kepada pegawai komando yang terkorban semalam, Armaya Aman Ramlie atau lebih dikenali sebagai AR Badul menyifatkan jasa dan pengorbanan anaknya lebih hebat daripada dirinya berikutan mendapat perhatian meluas pelbagai pihak termasuk pihak istana, pemimpin negeri dan pengamal media.

Beliau berkata, sejak kematian Mejar Mohd Zahir, 36, pagi semalam, media tidak henti-henti melaporkan berita mengenai kematian anaknya dari mula insiden hingga ke pengebumian.

“Sejak semalam hingga ke hari ini, bertubi-tubi berita mengenai arwah, dia (Allahyarham Mohd Zahir) lebih hebat daripada saya. Saya tengok segala penulisan (berita) menjadikan anak saya seorang yang berjasa dan berguna kerana dapat liputan meluas daripada wartawan.

“Begitu juga (mendapat perhatian) dengan pihak istana dan Yang Berhormat (YB) Menteri Besar Perak, yang hadir pagi tadi walaupun dalam kesibukan.

“...jadi saya merasakan (pemergian) arwah lagi besar dari saya dari segi kebolehan dan keupayaan kerjayanya,” katanya ditemui selepas pengebumian jenazah Allahyarham Mohd Zahir pada jam 8.45 pagi di Tanah Perkuburan Islam Tambun yang dihadiri kira-kira 2,000 tetamu, terdiri daripada ahli keluarga, saudara dan rakan terdekat.

BALU Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, Nourshafinar Harun memeluk Jalur Gemilang selepas menerimanya sebagai tanda keperwiraan kesatria di Tanah Perkuburan Islam Tambun, Ipoh. Turut hadir, pelakon dan pelawak AR Badul. - Foto Abdullah Yusof

Mohd Zahir, pegawai komando daripada Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas Kem Sungai Udang, Melaka meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, pada jam 9.20 pagi semalam selepas dipercayai tertembak ketika membuat aksi gimik dalam satu demonstrasi sempena penubuhan 5 Divisyen di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.

Badul berkata, beliau bangga memiliki anak seperti Mohd Zahir yang mempunyai kerjaya sebagai pegawai tentera berikutan komitmen yang diberikan kepada bangsa dan negara.

Katanya, beliau bersyukur berikutan urusan pengebumian anaknya dipermudahkan dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada keluarga menantunya, Nourshafinar Harun, 31, yang banyak membantu menguruskan jenazah Allahyarham Mohd Zahir.

Katanya, walaupun ada permintaan keluarga ibu Mohd Zahir yang mahu jenazah dikebumikan di Sabah manakala adik-beradik Mohd Zahir minta jenazah disemadikan di Kuala Lumpur, beliau memutuskan arwah anaknya dikebumikan di Ipoh demi menghormati permintaan menantunya.

AR Badul pada majlis pengebumian jenazah anaknya Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya di Tanah Perkuburan Islam Tambun, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof
AR Badul pada majlis pengebumian jenazah anaknya Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya di Tanah Perkuburan Islam Tambun, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

Terdahulu, jenazah Mohd Zahir selamat dikebumikan dengan penuh istiadat ketenteraan dalam suasana sayu dan pilu.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir, Panglima 21 Grup Gerak Khas, Mejar Jeneral Datuk Hasan Ali dan Panglima 2 Briged, Brigadier Jeneral Malek Razak Sulaiman.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X