Khamis, 5 September 2019 | 8:00pm
Ada penuntut perubatan dari Malaysia di universiti Russia sanggup membayar antara RM7,000 dan RM8,000 kepada pensyarah untuk lulus satu subjek bagi memastikan mereka tidak gagal dalam peperiksaan dan dapat menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan.

Bayar untuk lulus, undi sendiri pelajar terbaik

KUALA LUMPUR: Bukan sahaja menggunakan sijil palsu untuk bergelar doktor, sesetengah pelajar perubatan dari Malaysia di Russia juga didakwa sanggup membayar RM7,000 hingga RM8,000 untuk lulus satu subjek peperiksaan.

Pendedahan terbaru itu menyusul selepas BH kelmarin melaporkan, Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN) atau Non Objection Certificate (NOC) diperlukan pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di universiti asing, ada yang dipalsukan dan dijual sehingga RM8,500.

Bayaran untuk lulus subjek peperiksaan pula didakwa dibuat kepada pensyarah untuk menjamin pelajar, kebanyakannya mempunyai kewangan kukuh, tidak gagal sehingga perlu mengulang semula pengajian, selain memastikan dapat menamatkan kursus dalam tempoh ditetapkan.

Perkara itu juga dalam pengetahuan Kedutaan Besar Malaysia di Moscow dengan majoriti pelajar dipercayai berbuat demikian adalah yang mengikuti pengajian di Russia dengan biaya sendiri, terutama graduan jurusan perubatan.

Seorang pegawai kedutaan memaklumkan kepada BH, beliau pernah mendapat aduan mengenai hal sedemikian, namun tidak terkejut kerana ada dalam kalangan pelajar terbabit tidak sepatutnya menyertai jurusan perubatan.

“Ada pelajar bukan sahaja tidak layak dari segi akademik, tetapi juga tidak berminat terus belajar. Pernah pegawai kedutaan yang jaga hal ehwal pendidikan terkejut melihat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sesetengah pelajar perubatan dari Malaysia.

“Kebanyakan mereka daripada keluarga berkemampuan. Tidak hairanlah ada dakwaan yang sampai ke kedutaan bahawa sesetengah pelajar kita sanggup membayar sehingga RM7,000 atau RM8,000 untuk lulus satu subjek,” katanya.


Tangkap layar penerangan undian pemilihan pelajar anugerah dekan dimuat naik dalam laman sosial.

Beliau juga mendedahkan, ada kes pensyarah dan dekan universiti di Russia diberhentikan kerana dipercayai menerima sogokan untuk meluluskan pelajar dalam peperiksaan, namun enggan mengulas lanjut sama ada ia membabitkan pelajar Malaysia atau tidak.

Pegawai itu berkata, pelajar yang ke Russia atas tajaan atau biaya sendiri akan dipantau oleh pihak kedutaan jika mempunyai masalah dan sekiranya membabitkan isu pengajian, pihak kedutaan akan memeriksa rekod akademik mereka.

“Dari rekod itu, kita tahu ada pelajar mempunyai keputusan SPM yang lemah untuk mengikuti jurusan perubatan. Apabila ditanya, ada yang mendakwa ia kerana ibu bapa mahu mereka bergelar doktor,” katanya.

Beliau berkata, sistem pengajian di Russia berlainan dengan negara Eropah lain sehingga memudahkannya dieksploitasi, antaranya boleh mengambil semula sehingga tiga kali peperiksaan bagi subjek yang pelajar gagal dalam peperiksaan.

“Pengajian perubatan di Russia dibahagikan kepada pembelajaran teori selama empat tahun, diikuti pengajian klinikal dua tahun dengan tempoh penuh enam tahun, namun pelajar yang gagal peperiksaan perlu masa lebih lama atau sehingga lapan tahun.

“Bila tidak lulus kali pertama, mereka akan cuba dan cuba lagi. Jika dua kali gagal, selalunya pegawai pendidikan kita akan menasihatkan pelajar terbabit pulang menyambung pengajian di Malaysia walaupun sudah banyak wang dibelanjakan,” katanya.

Katanya, kos melanjutkan pengajian perubatan di Russia tidak begitu mahal dan pelajar yang mempunyai keazaman tinggi boleh berjaya walaupun kelulusan akademik peringkat sekolah tidak memenuhi syarat ditetapkan.

Difahamkan, antara halangan terbesar perlu dihadapi pelajar adalah kekangan bahasa kerana empat daripada lima universiti di negara itu yang menawarkan kursus perubatan dan diiktiraf Kerajaan Malaysia, menggunakan bahasa Russia dalam pembelajaran.

BH juga mendapat maklumat, penerima anugerah akademik tertentu seperti anugerah dekan dan anugerah penyelidikan didakwa dipilih oleh komuniti pelajar terbabit sendiri menerusi undian, selalunya berdasarkan populariti dan kemudian diluluskan dekan fakulti.

Undian dikatakan dibuat sebelum konvokesyen yang dianjurkan sendiri kumpulan pelajar itu selepas mereka pulang ke Malaysia kerana majlis graduasi bukan satu tradisi di pusat pengajian di Russia.

Seorang pelajar universiti di Russia memberitahu BH, majlis graduasi dianjur setiap tahun oleh kumpulan pelajar yang tamat pengajian, manakala penerima anugerah pula dipilih menerusi undian sesama mereka.

“Pernah berlaku penerima anugerah penyelidikan dikesan tidak buat sebarang kajian pun sepanjang tempoh pengajiannya,” katanya.

Kelmarin, BH mendedahkan SSLN palsu dipercayai dikeluarkan pihak tertentu dengan sasaran utama adalah lepasan perubatan dari universiti luar negara yang tidak memenuhi syarat minimum dalam SPM seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Tanpa sijil terbabit bersama keputusan SPM dengan syarat gred ditetapkan, lepasan kursus perubatan dari universiti asing tidak boleh mengikuti latihan amali atau ‘housemanship’ untuk melayakkan mereka bergelar doktor di negara ini.

Berita Harian X