Sabtu, 7 September 2019 | 1:13pm
Istana Kelantan menafikan segala kenyataan tidak benar dan berunsur fitnah yang disiarkan bersama beberapa gambar Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di media sosial. - Foto NSTP

Istana Kelantan kesal penyebaran gambar, kenyataan tidak benar

KOTA BHARU: Istana Kelantan menafikan segala kenyataan tidak benar dan berunsur fitnah yang disiarkan bersama beberapa gambar Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di media sosial.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan, berkata Istana Kelantan kesal dan membantah penyebaran gambar peribadi Sultan Muhammad V di media sosial berserta semua kiriman tidak beradab berkaitan kehidupan peribadi baginda.

Katanya, bukan menjadi kelaziman pihak istana memberi penjelasan kepada bualan di media sosial, tetapi Istana Kelantan memutuskan untuk menjernihkan kekeruhan yang sengaja ditimbulkan untuk mengelirukan rakyat.

“Pihak istana meminta rakyat tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran kenyataan tidak benar dan berunsur fitnah itu.

“Hanya kenyataan rasmi dari Istana Kelantan dan peguam kepada Sultan Muhammad V saja yang boleh diambil kira sebagai kenyataan tepat dan boleh diterima pakai oleh rakyat serta pengamal media.


Kenyataan media daripada pihak Istana Kelantan.

“Sultan Muhammad V tidak seharusnya dikaitkan dengan fitnah dan coretan tidak sahih di media sosial. Fitnah berupa coretan yang tidak benar ini mencemarkan nama baik Kesultanan Kelantan dan kerabat diraja Kelantan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, Sultan Muhammad V turut menzahirkan kekesalan dan rasa amat dukacita di atas kekhilafan peribadi baginda yang mengakibatkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, sehingga mendatangkan pertelagahan di media sosial kerana didorong khabar angin tidak sahih.

Katanya, baginda juga berharap rakyat dapat mendoakan kesihatan dan kesejahteraan ayahanda baginda Sultan Ismail Petra yang sedang gering.

Sebelum ini, beberapa keping gambar peribadi Sultan Muhammad V bersama seorang wanita tular di media sosial hingga menimbulkan pertelagahan dalam kalangan netizen.

Berita Harian X