Sabtu, 7 September 2019 | 2:24pm
Pemandangan sekitar bandaraya Kuala Lumpur terjejas akibat jerebu ketika tinjauan hari ini. IPU yang dipaparkan di laman sesawang apims.doe.gov.my menunjukkan bacaan 97 iaitu pada paras sederhana ketika gambar ini dirakam pada 9 pagi tadi. - Foto BERNAMA

Jerebu: Jabatan Meteorologi teliti buat pembenihan awan

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) sedang meneliti kesesuaian Operasi Pembenihan Awan dibuat di Sarawak khususnya di Kuching susulan keadaan jerebu ekoran bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang sangat tidak sihat di kesan di daerah itu akibat kebakaran di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata sehingga kini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri sedang memantau situasi termasuk menyediakan topeng kepada orang ramai.

Mengulas lanjut beliau berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan bagi perolehan topeng berkenaan.

“Pagi ini dimaklumkan bahawa bacaan IPU sangat tidak sihat dikesan di Sarawak khususnya Kuching dengan bacaan sekitar 206 namun bacaan IPU di Semenanjung dan Sabah umumnya masih ditahap baik.

“Kita akan terus memantau situasi ini termasuk sedang meneliti kesesuaian Operasi Pembenihan Awan dibuat mengambilkira keadaan atmosfera di kawasan terbabit, ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jalinan Kasih 2019 anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), di sini

.

Pada masa sama, Dr Wan Azizah berkata, rakyat khususnya di negeri Sarawak dinasihati untuk lebih banyak berada di kawasan tertutup dan memakai topeng apabila berada di kawasan terbuka untuk mengelakkan sebarang masalah kesihatan.

Katanya, menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS), faktor utama penyumbang punca bacaan IPU yang tinggi adalah berikutan 455 tompok panas akibat kebakaran di Kalimantan dan Sumatera.

“Pergerakan angin memberi kesan jerebu rentas sempadan ke Malaysia khususnya setakat ini ke Sarawak selain kejadian kebakaran belukar tanah gambut di Kuala Baram, Miri juga menyebabkan keadaan sekitar berjerebu.

“Pihak bomba bagaimanapun sedang mengambil tindakan berterusan memadam kebakaran di kawasan itu, ” katanya.


Keadaan di bandaraya Kuching dengan kualiti udara menunjukkan tahap bacaan IPU tidak sihat iaitu 206 ketika tinjauan pada jam 9.45 pagi tadi. - NSTP/L Manimaran

Setakat jam 9 pagi ini, Kuching mencatat IPU sangat tidak sihat iaitu 204 manakala lapan kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat antara 106 hingga 186 termasuk tiga kawasan di Miri iaitu sekitar Bandar Raya Miri, Sekolah Kebangsaan (SK) Baram 2 serta Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri.

Kawasan lain mencatat IPU tidak sihat ialah Sri Aman, Samarahan, Sarikei, Sibu dan Mukah.

Berita Harian X