Sabtu, 7 September 2019 | 8:52pm
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media sempena lawatan kerja ke Kyoto. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media sempena lawatan kerja ke Kyoto. - Foto BERNAMA

Kerajaan timbang skim lantikan terbaik - PM

KYOTO: Kerajaan sedang mencari jalan terbaik berhubung cadangan tiada lagi lantikan baharu dalam perkhidmatan awam di bawah skim tetap dan berpencen, bagi memastikan ia tidak merugikan penjawat awam, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, tiada sebarang keputusan dibuat berkenaan cadangan itu dan ia masih belum dibincangkan di peringkat Kabinet.

Beliau, bagaimanapun, menarik perhatian tentang hakikat bahawa bayaran pencen ketika ini sudah menjadi begitu besar.

“Sekarang ini kita (juga) bagi pencen kepada isteri dan anak (pesara kerajaan yang telah meninggal dunia). Ini semua menjadi beban kepada negara. Jadi kita (kerajaan) mungkin tak mampulah. Itu yang menjadi masalah,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di akhir lawatan kerja beliau di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah, dilaporkan berkata lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik bermula tahun depan.

Borhan berkata, langkah itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas pembaharuan perkhidmatan awam pada Oktober 2018 yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.

Merujuk kepada angka RM28 bilion itu, Dr Mahathir menjangkakan nilai bebanan pencen itu akan terus meningkat.

“Kita nak cari jalan supaya kerajaan mampu (bayar dan pegawai (penjawat awam) tidak rugi,” katanya.

Mengenai penulisan di blog beliau mengenai orang Melayu malas bekerja, perdana menteri berkata penulisan berkenaan ditujukan kepada golongan yang malas.

“Yang sanggup bekerja ada, saya tidak kata kepada orang yang sanggup (bekerja keras),” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir mahu rakyat Malaysia melihat kepada semangat bekerja orang Jepun yang sanggup melakukan semua pekerjaan dan tidak menggunakan tenaga kerja asing yang ramai, sekali gus mengurangkan pengaliran keluar wang yang dihantar pulang pekerja asing.

“Di Jepun mereka sendiri sapu jalan dan mereka jaga kebersihan negara mereka. Mereka tidak kerahkan tenaga kerja asing dan sebab itu mereka maju dan kaya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir menegaskan bahawa tiada permintaan ekstradisi penceramah bebas Dr Zakir Naik diutarakan oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi, ketika pertemuan beliau dengan pemimpin negara itu.

“Dia menyebut nama (Zakir) sahaja tapi tak ulas. Dia cakap sekali je tentang Zakir Naik,” katanya.

Sebaliknya, katanya tumpuan Modi sepanjang perjumpaan itu adalah untuk menerangkan berkenaan situasi di Jammu-Kashmir.

Dr Mahathir dan Modi mengadakan pertemuan dua hala ketika menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF) Ke-5 di Vladivostok, Russia baru-baru ini.

Sebelum ini, media India melaporkan bahawa Modi meminta Dr Mahathir mengambil langkah untuk mengekstradisi pendakwah kelahiran India itu yang dikehendaki New Delhi atas dakwaan menghasut keganasan dan pengubahan wang haram.

Dr Mahathir menamatkan lawatan kerja tiga hari ke Kyoto hari ini. - BERNAMA

Berita Harian X