Ahad, 8 September 2019 | 1:27pm
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Jailan Simon. - Foto Amirudin Sahib

Atmosfera tak sesuai untuk pembenihan awan - METMalaysia

KUALA LUMPUR: Operasi pembenihan awan bagi menangani masalah jerebu di Sarawak tidak dapat dilakukan buat masa ini berikutan keadaan atmosfera yang kurang sesuai, termasuk faktor tiupan angin dari barat daya.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Jailan Simon, berkata pihaknya sedia melakukan operasi pembenihan awan jika keadaan mengizinkan.

“METMalaysia sudah bersedia melakukan operasi pembenihan awan tetapi ia bergantung kepada kesesuaian keadaan atmosfera.

“Jika operasi pembenihan awan dilaksanakan ketika ini, kemungkinan untuk berjaya adalah kecil manakala kos operasinya tinggi,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, METMalaysia meneliti kesesuaian operasi pembenihan awan dibuat di Sarawak susulan keadaan jerebu dan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat di negeri itu.

Jailan berkata, jerebu tetap kembali walaupun pembenihan awan dilakukan berikutan faktor tiupan angin dari barat daya.

“Berdasarkan laporan, bilangan tompok panas di Kalimantan dan Sumatera berkurangan sejak malam tadi, maka ada kemungkinan keadaan jerebu bertambah baik jika kebakaran di Indonesia semakin reda.

“Monsun barat daya dijangka berakhir hujung bulan atau pada awal Oktober,” katanya.

Di Kalimantan, katanya, tompok panas berkurangan kepada 446 berbanding 704 semalam manakala di Sumatera, jumlah tompok panas berkurangan kepada 52 berbanding 68 semalam.

Setakat jam 8 pagi tadi, tiga kawasan di Sarawak mencatat IPU sangat tidak sihat, meningkat satu kawasan berbanding dua, semalam.

Kawasan terbaru mengalami kesan teruk jerebu adalah Sri Aman, yang mencatat IPU 229 pada jam 8 pagi tadi manakala Kuching dan Samarahan terus mencatat IPU sangat tidak sihat, masing-masing 232 dan 213.

Berita Harian X