Ahad, 8 September 2019 | 6:17pm
KETUA Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar (kanan) membuat lawatan kerja ke Unit Tindakan Khas (UTK) di Lapang Sasar Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Azhar Ramli

Polis, tentera mungkin terus nikmati skim pencen - KSN

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan mengecualikan anggota pasukan keselamatan daripada cadangan menggantikan Skim Pencen Perkhidmatan Awam membabitkan lantikan baharu dalam sektor itu.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, berkata satu kajian perlu dibuat untuk pengecualian itu membabitkan penjawat awam baharu dalam pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Ini memandangkan bidang tugas mereka, mungkin tentera dan polis memerlukan kesinambungan untuk terus menikmati Skim Pencen Perkhidmatan Awam.

“Cadangan menggantikan Skim Pencen Perkhidmatan Awam itu hanya untuk lantikan baharu dan tidak membabitkan kakitangan sedia ada. Kita buat kajian mereka (pasukan keselamatan) perlu terbabit atau tidak. Mungkin tahun depan kita akan buat keputusan,” katanya pada sidang media selepas beliau membuat lawatan kerja ke Unit Tindakan Khas (UTK) di Lapang Sasar Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di sini, hari ini.

Ketika ditanya cadangan mengkaji semula struktur gaji anggota polis, Ismail berkata, kerajaan juga masih membuat kajian berhubung perkara itu.

“Satu kajian secara keseluruhan masih dibuat. Ia bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan.

“Namun, kita akan membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa membabitkan elaun, pakaian, kelengkapan peralatan dan sebagainya,” katanya.

Pada lawatan kerja itu juga, Ismail berpuas hati dengan kemampuan pasukan UTK yang akan ditugaskan pada Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang mana Malaysia menjadi tuan rumah, tahun depan.

“Saya kagum dengan kemahiran dimiliki anggota UTK dan yakin mereka mampu menjalankan tugas sebaiknya memberi kawalan keselamatan kepada ketua negara yang hadir pada persidangan itu kelak,” katanya.

Terdahulu, Ismail dalam ucapannya selepas itu, berkata kerajaan khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan perbincangan bagi mewujudkan inisiatif berhubung cadangan menaikkan elaun khas anggota UTK.

“Kita juga akan mempertimbangkan cadangan PDRM menambah perjawatan unit itu daripada 409 anggota kepada 888 anggota.

“Kita akan lihat perkara ini dengan lebih mendalam termasuk penambahbaikan peralatan diperlukan pasukan itu,” katanya.

Berita Harian X