Isnin, 9 September 2019 | 11:18am

Agong Berangkat ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran

KUALA LUMPUR: Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2019 bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Keberangkatan tiba Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, di Istana Negara di sini disambut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Seri Paduka kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dibarisi empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat diketuai Mejar Mohd Shaiful Amir Omar.

Bersempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong kali ini, seramai 795 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2019.

Daripada jumlah itu, seramai 42 individu akan menerima darjah kebesaran masing-masing hari ini.

Istiadat penganugerahan itu adalah yang pertama selepas Al-Sultan Abdullah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam upacara penuh gilang-gemilang di Istana Negara pada 30 Julai lalu. – BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tiga, kiri) bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2019 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. - Foto BERNAMA
Berita Harian X