Isnin, 9 September 2019 | 12:35pm

Jangan peralat isu sensitif untuk kepentingan sendiri - Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini mengingatkan seluruh rakyat Malaysia supaya tidak memperalatkan isu-isu sensitif bagi kepentingan mana-mana pihak.

Titah Seri Paduka, setiap rakyat dijanjikan hak serta kebebasan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, namun kebebasan itu mestilah tidak melangkaui nilai yang menjadi asas perpaduan negara.

“Begitu juga dalam agenda politik, mesti ada noktah dan batasan yang tidak harus kita langgar. Jika polemik politik dibiarkan berlarutan, lambat-laun rakyat juga yang akan mendapat padahnya.

“Percayalah, perpaduan dan keamanan yang telah terbina selama 62 tahun ini jika hilang, akan sukar untuk dikembalikan. Nasihat Beta, buanglah yang keruh, dan ambillah yang jernih, mana-mana yang tercalar, rawatilah segera agar yang retak akan kembali bertaut,” titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong yang berlangsung di Istana Negara, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda menyambut baik usaha kerajaan dalam menghadapi suasana ekonomi dan geopolitik yang semakin mencabar, serta mengalu-alukan pelbagai langkah diambil oleh kerajaan untuk mengukuhkan ekonomi dan kewangan negara, di samping menangani kos sara hidup dan membasmi kemiskinan.

“Dalam hal ini, kerajaan beta perlu sentiasa berusaha untuk menambah baik perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat.

“Beta berharap golongan yang memerlukan seperti rakyat yang miskin, kurang upaya dan kumpulan B40, perlu diberikan perhatian dan bantuan supaya mereka tidak tercicir daripada arus pembangunan,” titah Seri Paduka.

Selain itu, pembentukan nilai mulia dalam amalan kehidupan masyarakat hari ini adalah menjadi tanggungjawab kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, titah Yang di-Pertuan Agong.

Dalam usaha membentuk sebuah masyarakat yang berintegriti, Al-Sultan Abdullah bertitah, generasi muda perlu dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan dan nilai jati diri yang tinggi.

Justeru, Seri Paduka menyarankan program yang boleh menyemai nilai mulia, jati diri dan semangat patriotisme, hendaklah dianjurkan di setiap pelosok negara.

“Melalui pendekatan ini, beta berkeyakinan kita akan dapat membentuk sebuah masyarakat yang berintegriti dan akan turut berupaya membentuk sebuah negara yang mempunyai nilai jati diri dan patriotisme yang tinggi,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah pada istiadat berkenaan turut mengambil kesempatan menjunjung kasih kepada Raja-Raja Melayu di atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepada Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Seri Paduka turut merakamkan terima kasih kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, anggota pentadbiran, penjawat awam dan anggota pasukan keselamatan yang sentiasa taat setia dalam melaksanakan tugas selain warga Istana Negara yang banyak membantu Seri Paduka dalam menggalas amanah sebagai Ketua Utama Negara. – BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2019 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. - Foto BERNAMA
Berita Harian X