Isnin, 9 September 2019 | 4:17pm
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. - Foto BERNAMA

Diplomat ucap tahniah kepada Agong

KUALA LUMPUR: Kor diplomatik di Malaysia menyampaikan ucapan tahniah dan ucap selamat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sempena hari keputeraan rasmi Seri Paduka.

Bercakap bagi pihak kor diplomatik di Malaysia pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong yang berlangsung di Istana Negara hari ini, Duta Besar Azerbaijan ke Malaysia, Prof Dr Qaley Allahverdiyev, berkata mereka menyaksikan komitmen kuat kerajaan Seri Paduka untuk meningkatkan kedudukan Malaysia.

“Sebagai pemerhati peristiwa politik dan sosial di Malaysia, kami dengan senang hati melihat Malaysia terus memainkan peranan penting bukan sahaja di rantau ini, tetapi juga peringkat antarabangsa.

“Jelas bahawa kemakmuran bersama rakyat adalah asas komitmen kerajaan Seri Paduka dalam mereka bentuk program dan dasar menjadikan Malaysia sebuah negara makmur, bermaruah dan bebas,” kata ketua kor diplomatik itu.

Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan itu adalah yang pertama sejak Al-Sultan Abdullah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai.

Allahverdiyev berkata, pilihan raya umum tahun lalu yang berjaya dan peralihan kuasa sempurna di negara ini menunjukkan kesungguhan rakyat Malaysia terhadap demokrasi.

“Seperti hari ini, Malaysia merayakan Hari Kemerdekaan ke-62, negara ini dapat merenungkan enam dekad keamanan dan kemajuan sejak pengisytiharan kemerdekaan pada tahun 1957,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X