Isnin, 9 September 2019 | 6:05pm
BANDARAYA Kuching masih diselubungi jerebu ketika gambar dirakam dari udara. - Foto BERNAMA
BANDARAYA Kuching masih diselubungi jerebu ketika gambar dirakam dari udara. - Foto BERNAMA

Sekolah di Kuching, Sri Aman dijangka tutup esok

KUCHING : Sekolah di bahagian Kuching dan Sri Aman dijangka tutup esok berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di dua kawasan itu masih mencatat bacaan pada tahap sangat tidak sihat sehingga jam 5 petang ini.

Setakat petang ini, enam Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di bandar ini, disahkan ditutup.

Pengerusi Lembaga Pengurusan SJKC Chung Hua Kuching No 1 hingga SJKC Chung Hua No 6, Wong Tiong Hoo berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan IPU pada tahap sangat tidak sihat dalam tempoh 24 jam lalu.

Beliau berkata, murid yang sedang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagaimanapun akan meneruskan peperiksaan, namun diberi topeng mulut dan diingatkan minum lebih banyak air ketika proses itu.

Maklumat di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) petang ini, IPU di Kuching berada pada tahap 245 dan Sri Aman pula pada tahap 249.

Pengarah Pendidikan Negeri, Dr Azhar Ahmad, berkata merujuk kepada Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 1 Tahun 2019 bertarikh 15 Januari 2019, jika bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah dalam kawasan atau daerah berkenaan perlu ditutup serta-merta.

Beliau berkata, pengetua dan guru besar perlu memaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berhubung langkah penutupan sekolah itu.

“Langkah itu diambil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menjamin kesihatan dan keselamatan murid di sekolah yang berada dalam kawasan berjerebu dianggap kritikal.

“Bagi kawasan yang bacaan IPU melebihi 100, pihak sekolah perlu menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah yang membabitkan semua murid dan disarankan aktiviti keramaian atau sukan di luar bangunan ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azhar berkata, semua jenis peperiksaan termasuk peperiksaan awam perlu diteruskan, namun Lembaga Peperiksaan (LP) akan menangguhkan peperiksaan kepada tarikh akan ditetapkan jika berlaku jerebu yang bacaan IPU mencecah 300.

Sehingga jam 5 petang ini, empat Stesen Pengawasan Udara Automatik mencatatkan tahap udara tidak sihat apabila melebihi IPU 100 iaitu Samarahan ( 199), Sarikei (160), Institut Latihan Perindustrian Miri (114) dan Sibu (132).

Tujuh stesen lagi mencatat bacaan IPU pada tahap sederhana iaitu Mukah (93), Miri (74), Sekolah Kebangsaan Kuala Baram 2 (78), Bintulu (85), Samalaju (79), Kapit (88) dan Limbang (75).

Berita Harian X