Selasa, 10 September 2019 | 8:33am
KAKITANGAN PLUSRonda sentiasa bersedia memberi bantuan kepada pengguna lebuh raya. - Foto Syarafiq Abd Samad
KAKITANGAN PLUSRonda sentiasa bersedia memberi bantuan kepada pengguna lebuh raya. - Foto Syarafiq Abd Samad

Keselamatan pengguna lebuh raya keutamaan PLUS

SELAIN menerusi pasukan PLUSRonda yang sentiasa bergerak di sepanjang lebuhraya, keselamatan pengguna di Lebuhraya Utara-Selatan turut dipantau oleh Pusat Kawalan Trafik di Ibu Pejabat PLUS.

Bagi memastikan keadaan lebuhraya terkawal, kakitangan bertugas akan memantau setiap pergerakan di sepanjang lebuh raya menerusi paparan skrin rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di Pusat Kawalan itu.

Ia juga menjadi pusat untuk pengguna membuat panggilan dan mendapatkan bantuan, selain menyampaikan aduan.

Pembantu Sistem Operasi, Siti Fatin Zolkulfli, berkata setiap hari dia perlu menjawab banyak panggilan sama ada untuk mendapat bantuan atau juga membuat aduan.

“Kalau musim perayaan lebih banyak panggilan diterima. Ada panggilan kecemasan, kemalangan, kerosakan kenderaan dan berbagai lagi.

Pengguna lebuh raya yang memulakan perjalanan ke kediaman bermula esok, hanya dibenar menggunakan tandas di R&R lebuh raya. - NSTP/RAMDZAN MASIAM
Pengguna lebuh raya yang memulakan perjalanan ke kediaman bermula esok, hanya dibenar menggunakan tandas di R&R lebuh raya. - NSTP/RAMDZAN MASIAM

“Daripada panggilan itu, kami di Pusat Kawalan akan menghubungi PLUSRonda dan pihak berkuasa seperti polis, ambulan, bomba dan pihak berkaitan masalah yang berlaku.

“Saya selalu juga menerima panggilan daripada pengguna yang tidak berpuas hati dan marah-marah dengan keadaan lebuhraya, terutama apabila berlakunya kesesakan jalan raya.

“Apapun, saya perlu bersabar dan menjawab dengan baik,” kata kakitangan berusia 27 tahun itu.

Sebagaimana pengertiannya mengenai merdeka, iaitu bebas dalam membuat keputusan dan bebas daripada bersifat negatif.

“Sempena Bulan Kemerdekaan ini, saya berharap pengguna memandu mengikut kelajuan ditetapkan dan sekiranya memerlukan bantuan di lebuh raya sila hubungi PLUS di PLUSLine 1800 88 0000.

“Selain memastikan keselamatan pengguna, PLUS menyatukan rakyat Malaysia menerusi satu rangkaian lebuh raya selamat dan selesa yang menyambungkan utara dan selatan Semenanjung,” katanya.

Rakan sekerja, Ng Khong Loon, turut bersetuju bahawa PLUS menjadi tulang belakang negara menyatukan masyarakat yang berbilang kaum dan budaya secara harmoni.

“Sejak menyertai PLUS hampir dua tahun, saya melihat PLUS semakin berkembang dari sebuah organisasi yang menjalankan operasi kepada pengurusan perniagaan,” katanya yang berasal dari Kelantan.

Khong Loon berkata, dengan kepelbagaian bidang dan budaya yang makin berkembang di PLUS, ia amat sesuai dengan prinsip Rukun Negara ketiga, iaitu Keluhuran Perlembagaan.

Bercerita mengenai keunikan kaum Cina Kelantan sempena merdeka ini, Khong Loon gembira dapat bertutur bahasa Melayu bersama masyarakat Kelantan.

GERAI makanan di kawasan R&R PLUS yang bersih dan selesa. - Foto Syarafiq Abd Samad
GERAI makanan di kawasan R&R PLUS yang bersih dan selesa. - Foto Syarafiq Abd Samad

“Uniknya, ke mana saja kami pergi apabila berjumpa sesama kaum Cina berasal dari Kelantan, kami akan cakap bahasa Melayu,” katanya yang memberi gambaran bahasa adalah penyatuan semua kaum.

Kesejahteraan yang dikecapi hari ini, seharusnya dikekalkan kerana ia adalah hasil perjuangan orang terdahulu.

Sementara itu, S Ramaraj yang berkhidmat sebagai eksekutif pengurusan di PLUS walaupun masih muda, mempunyai kematangan dalam pemikiran.

Graduan Kejuruteraan Awam dari Universiti Cambridge itu berkata, rakyat Malaysia saling hormat menghormati antara satu sama lain berbeza dengan keadaan ketika beliau tinggal di United Kingdom (UK).

“Kalau di sini, jika saya ke padang melihat ada orang bermain bola, pasti orang yang bermain akan pelawa saya untuk turut serta. Tetapi keadaan berbeza di UK, mereka sangat sibuk dan sentiasa terkejar-kejar masa,’ katanya.

Dari sudut lain, sama ada sedar atau tidak, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang disediakan PLUS menjadi medan pertemuan antara kita.

EKSEKUTIF Kanan Pengurusan Kategori, Catherine Tan Kai Lin.
EKSEKUTIF Kanan Pengurusan Kategori, Catherine Tan Kai Lin.

Eksekutif Kanan Pengurusan Kategori, Catherine Tan Kai Lin 27, berkata, PLUS sentiasa menaik taraf kemudahan R&R untuk keselesaan pengguna.

“Marilah kita bersama-sama meraikan Bulan Merdeka ini. Dengan menggunakan lebuhraya PLUS kita boleh berhenti di mana-mana R&R, tidak kira anda dari arah selatan atau utara.

“Anda berpeluang menikmati pelbagai jenis makanan di medan selera dan restoran yang ada di R&R. Kemudahan tandas sentiasa ditingkatkan dan ia sangat bersih,” katanya.

Berita Harian X