Selasa, 10 September 2019 | 9:45am

IPU Kuching, Samarahan menurun, Sri Aman kekal sangat tidak sihat

KUCHING: Penutupan sekolah di kawasan Kuching, Padawan dan Bau diteruskan hari ini walaupun Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan Kuching dan Samarahan menurun ke tahap tidak sihat selepas beberapa hari melebihi 200.

Tinjauan mendapati semua sekolah yang sudah menerima arahan penutupan oleh guru besar masing-masing petang semalam, ditutup pagi tadi.

Bagaimanapun, calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) meneruskan peperiksaan seperti biasa.

Seorang ibu pelajar Sekolah Kebangsaan (Agama) Datuk Abdul Kadir Hassan, di Petra Jaya, Malihah Bujang, 50, berkata mereka tidak menghantar anak ke sekolah kerana arahan penutupan sekolah itu dibuat berdasarkan bacaan IPU pada jam 6 petang semalam.

“Walaupun IPU di Kuching menurun pagi ini, kami dimaklumkan penutupan sekolah diteruskan dan esok pula bergantung kepada bacaan IPU hari ini,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, ada juga pengetua yang mengambil keputusan untuk tidak menutup sekolah hari ini walaupun bacaan IPU pada jam 6 petang semalam berada di tahap sangat tidak sihat.

Seorang bapa pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan St Joseph, Jimmy Lau, berkata pihaknya akur dengan keputusan itu dan beliau lega dengan penurunan IPU pagi ini.

“Keputusan pengetua itu tepat tambahan pula calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menduduki ujian percubaan hari ini.

“Kita cuma berharap IPU terus menurun hari ini dan jerebu segera beredar,” katanya.

Maklumat laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga jam 8 pagi ini, mendapati hanya Sri Aman mencatat IPU pada tahap sangat tidak sihat iaitu 202.

Kuching berada pada tahap tidak sihat dengan bacaan IPU menunjukman penurunan pada tahap 167 dan Samarahan pula 132.

Sebanyak 10 lagi Stesen Pengawasan Udara Automatik mencatatkan bacaan pada tahap sederhana iaitu Sibu ( 77), Sekolah Kebangsaan Kuala Baram 2 (69), Mukah (60), Miri (67), Bintulu (67), Samalaju (58), Kapit (63), Limbang (53), Sarikei (77) dan Institut Latihan Perindustrian Miri (63).

PENGAWAL keselamatan SKJ Chuang Hua No 4 di Kuching menutup pagar sekolah selepas diberi cuti berikutan cuaca jerebu yang teruk di Kuching, kualiti udara menunjukkan tahap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada jam 7 pagi pada peringkat tidak sihat iaitu 167 disebabkan pergerakan angin dari Kalimantan membawa jerebu teruk dari wilayah itu ke Sarawak. - Foto Hazreen Mohamad

Murid sekolah menggunakan penutup hidung dan mulut disebabkan jerebu ketika membuat persediaan akhir sebelum menduduki kertas Matematik UPSR di SK Green Road, Kuching. - NSTP/Mohd Radzi Bujang
Murid sekolah menggunakan penutup hidung dan mulut disebabkan jerebu ketika membuat persediaan akhir sebelum menduduki kertas Matematik UPSR di SK Green Road, Kuching. - NSTP/Mohd Radzi Bujang
Murid sekolah yang menduduki UPSR mengaminkan doa supaya cuaca yang berjerebu kembali pulih sebelum memasuki dewan peperiksaan di SK Green Road, Kuching. - NSTP/Mohd Radzi Bujang
Murid sekolah yang menduduki UPSR mengaminkan doa supaya cuaca yang berjerebu kembali pulih sebelum memasuki dewan peperiksaan di SK Green Road, Kuching. - NSTP/Mohd Radzi Bujang

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X