Rabu, 11 September 2019 | 3:00pm
KETUA Menteri, Chow Kon Yeow bersalaman dengan orang ramai pada majlis perasmian persidangan In.Tech di Georgetown, hari ini. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Hentikan kempen 'Beli Produk Muslim Dahulu' di Pulau Pinang

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang beranggapan kempen ‘Beli Produk Muslim Dahulu’ yang dilancarkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan di negeri itu Ahad lalu, sebagai tidak produktif dan meminta agar kempen itu dihentikan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata kerajaan negeri tidak bercadang untuk campur tangan dalam kempen itu yang dianggap tidak baik untuk sistem ekonomi pelbagai bangsa dan keharmonian masyarakat.

Katanya, kempen itu akan menjadi usaha yang sia-sia dan tidak produktif kepada ekonomi dan harus dibatalkan.

“Saya dimaklumkan bahawa kempen itu dibatalkan ... tetapi jika masih aktif, ia harus ditamatkan kerana tidak baik untuk ekonomi.

“Jika anda bercakap tentang mempromosi produk Bumiputera, tiada siapa akan membantahnya tetapi apabila anda bercakap mengenai pemulauan produk bukan Islam, ia akan membuahkan hasil yang sebaliknya.

“Biarkan mereka (penganjur kempen) memberi alasan mengapa ia perlu diteruskan. Kita merasakan ia tidak perlu kerana seperti yang kita katakan kempen itu tidak baik bagi ekonomi dan keharmonian masyarakat... penganjur kempen harus bertanya kepada diri sendiri mengapa perlu meneruskan kempen itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan In.Tech di sini hari ini.

Ahad lalu Gerakan Pembela Ummah (Ummah) memulakan kempen Beli Produk Muslim Dahulu di Pulau Pinang dengan matlamat untuk menaikkan kuasa beli umat Islam di Pulau Pinang dan pada masa yang sama , membantu komuniti perniagaan Islam di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan Ummah, Mohd Zai Mustafa, berkata Pulau Pinang dipilih kerana negeri ini mempunyai ekosistem perniagaan yang baik dan salah sebuah bandar terbesar di wilayah Utara. - BERNAMA

9534 dibaca
Berita Harian X