Rabu, 11 September 2019 | 3:16pm
Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim (kiri) berkenan berangkat menziarahi Nour Shafinar Harun, 31, yang merupakan isteri Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya di kediaman Nour Shafinar di Taman Perpaduan hari ini. - Foto BERNAMA

Saya reda, tak salahkan mana-mana pihak - Nour Shafinar

IPOH: Balu Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, Nour Shafinar Harun, tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak berhubung insiden menimpa suaminya, sebaliknya reda dengan ketentuan Tuhan.

Katanya, dia dan keluarga menganggap kejadian yang berlaku adalah disebabkan kemalangan ketika menjalankan latihan.

“Sebagai isteri arwah, saya tidak salahkan mana-mana pihak atas kejadian yang menimpanya sehingga dia meninggal dunia.

“Saya reda dengan ketentuan Ilahi dan menganggap ini satu kemalangan dalam latihan.

“Ia kerana mereka berdua (rakan setugas) sama-sama penembak tepat dan kita tak tahu apa yang berlaku,” katanya kepada media di kediaman ibunya di Taman Perpaduan Ulu Kinta, di sini, hari ini.

Terdahulu Nour Shafinar menerima kunjungan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.


Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim (kiri) berkenan menenangkan Nour Shafinar Harun, 31, yang merupakan balu Mejar Mohd Zahir Armaya ketika baginda berangkat menziarahi ke kediaman Nour Shafinar di Taman Perpaduan hari ini. - Foto BERNAMA

Tuanku Zara yang tiba di kediaman berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah hari meluangkan masa kira-kira 30 minit bertanya khabar dan berbual bersama anggota keluarga Nour Shafinar, selain turut menyampaikan sumbangan peribadi.

Media semalam melaporkan, siasatan terhadap insiden Allahyarham Mohd Zahir yang maut terkena tembakan dalam aksi demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah, Rabu lalu, menjurus kepada faktor kecuaian.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, dipetik berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan beberapa individu dipanggil untuk membantu siasatan.

Omar dipetik berkata, setakat ini, 11 individu termasuk anggota tentera yang terbabit dalam insiden berkenaan, sudah dipanggil memberi keterangan.

Mohd Zahir, 36, pegawai komando daripada Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia pada Rabu lalu selepas dipercayai terkena tembakan ketika melakukan aksi demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi.

5654 dibaca
Berita Harian X