Rabu, 11 September 2019 | 3:44pm
MOHD Shafie ketika menerima kunjungan hormat Latheefa Koya di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah (PPNS) hari ini. - foto BERNAMA

SPRM tunggu maklumat kes jual MyKad kepada warga China

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan berhubung beberapa individu termasuk pegawai kerajaan berpangkat tinggi yang ditahan polis berikutan pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada warga China di Pulau Pinang sejurus mendapat maklumat mengenainya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata setakat ini pihaknya belum menerima laporan rasmi berhubung perkara itu, namun menjelaskan kes yang membabitkan sindiket seperti itu boleh disiasat jika ada maklumat walaupun tanpa ada laporan rasmi.

“SPRM belum terima aduan rasmi tapi jika ia adalah sindiket kita pasti akan mula siasat. Kes berkaitan menjual MyKad atau kad pengenalan bukan perkara baharu tetapi kita perlu tahu apa asasnya.

“Setakat ini kita hanya mengetahui perkara ini melalui media, namun kita tidak semestinya menunggu laporan rasmi. Kalau kita ada maklumat jelas kita akan bertindak tetapi setakat ini belum ada maklumat,” katanya selepas melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi.


LATHEEFA Koya pada sidang media selepas membuat kunjungan hormat Ketua Menteri Sabah di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah (PPNS) hari ini. Turut hadir, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi (kiri). --foto BERNAMA

Latheefa berkata demikian ketika ditanya mengenai pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada seorang warga China, di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Dalam operasi khas minggu lalu itu, beberapa kakitangan dan pegawai sebuah jabatan kerajaan di Pulau Pinang termasuk di Putrajaya ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sementara itu, Latheefa berkata SPRM masih menyiasat pendedahan Laporan Ketua Audit Negara, baru-baru ini, khususnya yang dikenal pasti ada unsur jenayah melalui penubuhan sebuah pasukan petugas khas atau taskforce oleh agensi itu.

“Pasukan taskforce itu sudah diwujudkan di ibu pejabat tetapi ia masih dalam proses siasatan kerana ada kes bersifat jenayah dan rasuah tetapi ada juga yang tiada. Kami sedang dalam proses siasatan bagi yang ada elemen jenayah dan rasuah,” katanya.

Ditanya bila senarai kedua lucut hak akan dikeluarkan oleh SPRM bagi mendapatkan semula wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disalah guna, Latheefa berkata, pihaknya belum boleh memaklumkannya sekarang.

“Belum lagi. Kami akan umum kepada media apabila tiba masanya,” katanya.

Dalam pada itu, Latheefa berkata, SPRM menawarkan untuk menempatkan seorang pegawai kanan agensi itu di Pejabat Ketua Menteri Sabah sebagai langkah pencegahan bagi memastikan tiada peluang rasuah dalam kerajaan negeri.

Katanya, penempatan pegawai kanan SPRM itu adalah sebagai tambahan kepada pegawai sedia ada dilantik kerajaan negeri yang ditugaskan untuk melihat aspek integriti.

Tawaran itu mendapat maklum balas positif Mohd Shafie dan ia dijangka dilaksanakan sejurus perincian mengenainya diselesaikan pihak SPRM, tambahnya.

Latheefa turut mengingatkan semua pihak supaya berhenti menjadikan SPRM sebagai alat politik atau medan untuk membuat laporan terhadap sesama sendiri seperti yang berlaku dalam kerajaan terdahulu.

“Kami tidak menghentikan siasatan hanya kerana seseorang itu mendapat kuasa, kita hanya berhenti jika ia melampaui aduan asas. Kita ada contoh kes yang dilapor atas motif politik,” katanya.

14240 dibaca
Berita Harian X