Rabu, 11 September 2019 | 6:53pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (dua kanan) melakukan gimik perasmian Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 di TH Hotel, turut bersama Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (tiga kanan) Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama, Azman Nasrudin (dua kiri), semalam. - Foto Sharul Hafiz Zam

Kedah akan wujud sekolah peladang

ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan mewujudkan sekolah peladang bagi memberi latihan secara teori dan praktikal mengenai penanaman padi organik.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri, Azman Nasrudin, berkata sekolah itu dirancang ditubuhkan dengan kerjasama pengusaha padi organik, Zakaria Kamantasha, di Kampung Lintang, Belantik, Sik.

Katanya, pelatih sekolah itu akan diambil dalam kalangan lepasan sekolah, golongan muda dan individu yang berminat mendalami bidang pertanian terutamanya penanaman padi.

“Pelatih akan belajar semua aspek tanaman padi bermula cara menanam sehingga menuai padi, selain akan didedahkan dengan tanaman organik.

“Sekolah ini tidak memerlukan bangunan hebat, tetapi yang penting ilmu pertanian yang dapat meningkatkan kualiti beras dan pelajar mampu menghasilkan beras tanpa merosak dan mencemarkan alam sekitar,” katanya ketika ditemui pada Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 di sini, hari ini.

Difahamkan, Zakaria, 56, yang berpengalaman hampir 10 tahun dalam tanaman padi organik, akan membimbing pelatih mengusahakan tanaman berkenaan yang lebih bernilai tinggi.

Azman berkata, pesawah tradisional yang berminat beralih kepada tanaman padi organik juga akan ditawarkan mengikuti kursus jangka pendek penanaman padi berkenaan.

Katanya, dengan kerjasama pihak swasta, pesawah yang berpengalaman dijangka dapat mengikuti kursus itu di kawasan masing-masing tanpa perlu ke sekolah peladang.

“Teknik penanaman organik tidak sama seperti penanaman padi biasa, ia memerlukan ilmu daripada pesawah berpengalaman, selain petani sendiri perlu mempunyai sifat cintakan alam.

“Kita akan cuba laksanakan program ini secepat mungkin dan sebagai inisiatif baharu, kerajaan negeri akan memperkenal amalan pertanian baik dalam industri padi bagi membolehkan rakyat menikmati beras organik,” katanya.

261 dibaca
Berita Harian X