Khamis, 12 September 2019 | 4:27pm
TINJAUAN jerebu di Dataran Lumut yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan bacaan 130 setakat jam 6 petang tadi. NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
TINJAUAN jerebu di Dataran Lumut yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan bacaan 130 setakat jam 6 petang tadi. NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

Ipoh, Seri Manjung catat IPU tidak sihat

IPOH: Selepas Seri Manjung, satu lagi kawasan di Perak dikesan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 2 petang hari ini.

Berdasarkan maklumat Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kawasan Tasek di sini turut mencatatkan kualiti udara tidak sihat apabila bacaan IPU melebihi 100.

Kawasan Tasek mula mencatatkan IPU tidak sihat pada jam 4 pagi tadi apabila mencatatkan bacaan 102 dan terus meningkat kepada 103 (jam 7 pagi), 104 (jam 10 pagi), 105 (jam 12 tengah hari) dan 104 setakat jam 2 petang tadi.

Bacaan IPU di Seri Manjung pula tidak sihat sejak semalam dan menunjukkan aliran meningkat iaitu 137 (jam 7 pagi), 142 (jam 10 pagi), 146 (jam 12 tengah hari) dan 147 setakat jam 2 petang tadi.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Bacaan IPU tidak sihat boleh membahayakan orang ramai yang mempunyai masalah jantung dan paru-paru.

Sementara itu, sumber Jabatan Pendidikan Perak, berkata pihaknya sudah mengarahkan agar semua aktiviti luar membabitkan murid dan pelajar sekolah di kawasan yang dilanda jerebu, dihentikan.

Katanya, ia selaras dengan surat pekeliling Kementerian Pendidikan bertarikh 15 Januari lalu yang menyatakan, jika bacaan IPU melebihi 100, maka pihak sekolah hendaklah menghentikan segala aktiviti luar membabitkan murid.

Sehubungan itu, katanya, semua aktiviti luar terutama latihan sukan membabitkan murid dan pelajar sekolah hendaklah dibatalkan.

Orang ramai boleh melayari http://apims. doe.gov.my untuk mengetahui maklumat IPU semasa yang dikemas kini setiap jam.

Berita Harian X