Khamis, 12 September 2019 | 6:56pm
KEADAAN jerebu di Kuala Lumpur. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Jerebu dijangka reda bulan depan

MIRI: Jerebu yang berlaku di seluruh negara termasuk di Sarawak dan Sabah dijangka berakhir awal bulan depan iaitu ketika musim peralihan monsun iaitu selepas monsun barat daya berakhir.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon, berkata walaupun operasi pembenihan awan dilakukan sekarang, namun masalah jerebu tetap akan berlaku.

Beliau berkata, masalah jerebu yang melanda negara pada masa ini akan kembali berikutan tiupan angin dari barat daya.

“Selagi angin barat daya masih ada dan kebakaran masih berlaku, jerebu akan tetap ada kerana angin itu yang membawa asap ke kawasan kita.

“Bagaimanapun, pembenihan awan ini sedikit sebanyak mengurangkan jerebu yang mana kita jangka ia bakal berakhir hujung bulan ini atau awal bulan depan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.


KEADAAN jerebu di Lumut. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

Beliau berkata, ketika peralihan monsun berlaku, biasanya kawasan pantai barat Semenanjung dan Sarawak akan menerima hujan lebih banyak, yang mana operasi pembenihan awan (OPA) tidak dapat dijalankan di kawasan Semenanjung berikutan faktor tidak sesuai.

Hari ini, MetMalaysia memulakan OPA di kawasan barat Sarawak bagi mengurangkan jerebu di situ.

Operasi dilakukan di beberapa kawasan termasuk Sri Aman, Kuching dan Samarahan dengan kerjasama pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Pegawai MetMalaysia dan TUDM berlepas pada kira-kira jam 12 tengah hari dari Labuan ke kawasan barat Sarawak menggunakan pesawat C130 milik TUDM bagi memulakan operasi ini,” katanya.

Berita Harian X