Khamis, 12 September 2019 | 8:40pm
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof. NSTP/Nik Hariff Hassan.
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof. NSTP/Nik Hariff Hassan.

Malaysia pelawa lebih banyak syarikat melabur dalam industri aeroangkasa

GOMBAK: Malaysia mempelawa lebih banyak syarikat multinasional dari Jepun melabur dalam pelbagai sektor berkaitan industri aeroangkasa di negara ini pada masa depan.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata ketika ini, terdapat dua syarikat multinasional dari negara itu, Kawasaki dan Mitsubishi, berminat menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran komponen aeroangkasa.

“Secara dasarnya, mereka berminat menanam modal dalam industri aeroangkasa di Malaysia. Kita sudah berbincang dengan Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa dan wakil kedua-dua syarikat itu bagi membolehkan pelaburan berkenaan diterjemahkan kepada realiti sebenar.

“Kita juga sedang meneliti pelbagai insentif menarik bakal ditawarkan kepada kedua-dua syarikat itu sekiranya mereka benar-benar berhasrat menjadikan negara sebagai hub operasi mereka, khususnya bagi pengeluaran komponen industri aeroangkasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program International Entrepreneurial Engagement: Malaysia Looking East - Japan 2019’ anjuran pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini hari ini.

Mohd Redzuan ketika mengulas lanjut, berkata selain automotif, industri aeroangkasa antara yang berpotensi dikembangkan dan menarik pelaburan asing, terutama dalam pengeluaran komponen berkaitan.

“Di Malaysia ketika ini, ada beberapa syarikat sudah menjadikan kita sebagai hab pengeluaran komponen aeroangkasa untuk dibekalkan kepada Boeing dan Airbus.

“Justeru, kita akan ke Jepun bagi mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak pengurusan kedua-dua syarikat berkenaan sempena Pameran Aeroangkasa Aeromart Nagoya 2019 pada akhir bulan ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Redzuan menjelaskan matlamat utama Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN2030) diperkenalkan bagi memperkasakan kembali bidang keusahawan, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40).

“Malaysia masih lagi dikenali sebagai negara pengguna dan bukannya pengeluar, malah jauh ketinggalan berbanding negara lain seperti Jepun dan Korea Selatan.

“Itulah sebab kita melancarkan DKN2030 bagi mewujudkan budaya keusahawanan dalam kalangan masyarakat, terutama kategori B40 bagi menggalakkan mereka terbabit dalam industri halal yang begitu besar potensinya,” katanya.

Mohd Redzuan berkata, strategi dan inisiatif tertentu sudah pun dirangka merangkumi pelbagai bidang, termasuk industri halal, aeroangkasa dan pergerakan koperasi di negara ini bagi mendokong hala tuju DKN2030.

Berita Harian X