Khamis, 12 September 2019 | 8:44pm
HUSNI (kanan) bersama juri-juri melawat pameran pertandingan lakaran Rukun Negara di Galeri Jejantas Sungai Buloh. NSTP/Zunnur Al Shafiq
HUSNI (kanan) bersama juri-juri melawat pameran pertandingan lakaran Rukun Negara di Galeri Jejantas Sungai Buloh. NSTP/Zunnur Al Shafiq

44 lakaran Rukun Negara dipamer di Jejantas Sungai Buloh

KUALA LUMPUR: Idea kreatif murid dari lima sekolah yang mencipta lakaran Rukun Negara mendapat pengiktirafan apabila hasil karya mereka kini dipamerkan di Galeri Jejantas Sungai Buloh.

Menerusi Pertandingan Lakaran Rukun Negara anjuran Plus Malaysia Bhd (PLUS), sebanyak 50 lakaran murid disenarai pendek daripada 1,000 penyertaan yang diterima sejak 30 Ogos lalu.

Namun, hanya 44 lakaran yang dapat dipaparkan di sepanjang restoran jejantas itu kerana ruang yang terhad, manakala baki enam lakaran akan dibawa pada hari pengumuman pemenang pada 10 Oktober ini.

HUSNI Md Yusuf (tengah) bersama juri-juri melawat pameran pertandingan lakaran Rukun Negara di Galeri Jejantas Sungai Buloh. NSTP/Zunnur Al Shafiq
HUSNI Md Yusuf (tengah) bersama juri-juri melawat pameran pertandingan lakaran Rukun Negara di Galeri Jejantas Sungai Buloh. NSTP/Zunnur Al Shafiq

Pengurus Perniagaan Wilayah Tengah PLUS, Husni Md Yusuf, berkata pertandingan diadakan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2019 itu memberi peluang kepada murid untuk menceritakan pemahaman mereka terhadap Rukun Negara menerusi visual lakaran.

“Seperti apa diajar di sekolah mengenai semangat cintakan negara, pertandingan ini dapat menyemai nilai yang terdapat dalam Rukun Negara dalam kalangan generasi muda.

“Kami bukan sahaja menggalakkan peserta mempamerkan seni kreatif mereka, malah menerusi pertandingan ini, murid dapat memahami dan menjiwai lebih dekat Rukun Negara dalam hati mereka,” katanya pada majlis pelancaran pameran lakaran itu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Sungai Buloh hari ini.

Menurut Husni, lakaran itu dipamerkan bermula hari ini sehingga pertengahan Disember depan untuk dipertontonkan kepada pelanggan yang singgah di kawasan R&R itu.

Pertandingan itu disertai murid tahun empat hingga enam dari lima sekolah berhampiran dengan jajaran lebuh raya kendalian PLUS itu membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Desa, Rawang; SK Seksyen 7, Bangi; SK Slim River, Perak; SK Dato Kelana Tapah, Perak; dan SK Payamas, Johor.

Proses pemarkahan akan terbahagi kepada dua, 60 peratus daripada juri profesional dari Balai Seni Lukis Negara dan Arkib Negara Malaysia, manakala 40 peratus daripada undian di laman Facebook PLUS.

Pemenang utama bakal menerima RM2,000 dan RM5,000 insentif akan diberi kepada pihak sekolah berkenaan.

Bagi peringkat sekolah, pemenang utama akan menerima RM1,000, RM800 (tempat kedua), RM500 (ketiga), RM300 (keempat) dan RM150 (kelima) sementara RM50 bagi lima pemenang sagu hati. - BERNAMA

Berita Harian X