Jumaat, 13 September 2019 | 3:04pm
Pemandangan udara di sekitar Kuala Lumpur kelihatan berjerebu. Menurut Indeks Pencemaran Udara (IPU) diterbitkan oleh Jabatan Alam Sekitar melalui laman sesawang Air Pollutant Index of Malaysia (APIMS) mencatatkan bacaan 156 IPU iaitu tahap tidak sihat pada jam 12 tengahari. - NSTP/Hafiz Sohaimi
Murid SK Jln Kuantan memakai topeng mulut sumbangan dari KPJ Tawakkal KL berikutan jerebu. - NSTP/Amirudin Sahib
Kualiti udara sekitar bandar Nilai sehingga jam 11 pagi ini kadar bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) direkodkan sebanyak 128 iaitu tahap tidak sihat. - NSTP/Adzlan Sidek

Operasi pembenihan awan di Semenanjung minggu depan

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) akan melakukan operasi pembenihan awan (OPA) di Semenanjung, minggu depan, bagi mengurangkan kesan jerebu yang semakin teruk.

Ketua Pengarahnya, Jailan Simon, berkata operasi itu akan dilaksanakan pada 16 dan 17 September ini berdasarkan penganalisisan model cuaca yang dijalankan.


Pemandangan udara di sekitar Kuala Lumpur kelihatan berjerebu. - NSTP/Hafiz Sohaimi

“Kualiti udara di Semenanjung, terutama di bahagian Pantai Barat merosot kepada tahap tidak sihat. MetMalaysia akan melaksanakan OPA bagi mengurangkan kesan jerebu yang semakin teruk.

“Berdasarkan penganalisisan model cuaca dari 13 hingga 19 September ini, didapati keadaan yang sesuai untuk melaksanakan OPA di Semenanjung ialah pada 16 dan 17 September,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Keadaan jerebu dirakam sekitar di Lebuhraya Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang. Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan tahap tidak sihat di kawasan Balik Pulau (110), Minden (116) dan Seberang Jaya (109) manakala Seberang Perai (98) pada tahap sederhana. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Dalam perkembangan berkaitan, Jailan berkata, OPA di Sarawak akan ditangguhkan buat sementara waktu berikutan kualiti udara di seluruh negeri itu bertambah baik.


Pemandangan sekitar Pantai Lido tidak jelas berikutan jerebu yang melanda negeri ini dengan bacaan IPU di laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) mencatatkan bacaan tidak sihat sebanyak 100. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Beliau berkata, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sarawak secara keseluruhannya menurun daripada tahap tidak sihat kepada sederhana.

Pada 12 September lalu, OPA dilakukan di lima kawasan negeri itu membabitkan Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong selepas kualiti udara terjejas teruk akibat jerebu.

Kerajaan Selangor pula semalam menetapkan operasi pembenihan awan akan dilaksanakan di kawasan berjerebu yang mencatat bacaan sangat tidak sihat dengan IPU melebihi 200.


Mercu tanda Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, hampir tidak kelihatan dipercayai akibat jerebu ketika dirakamkan dari sebelah pulau, Bayan Lepas. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Berita Harian X