Jumaat, 13 September 2019 | 3:49pm
Pemandangan berjerebu disekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, kualiti udara menunjukkan tahap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat ekoran pembakaran hutan masih berlaku di Kalimantan Barat, Indonesia. - NSTP/L Manimaran

Lebih 1,500 tompok panas dikesan di Indonesia

KUCHING: Sebanyak 1,528 tompok panas dikesan di Indonesia hari ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan jerebu di negeri ini akan meningkat semula.

Daripada jumlah tompok panas itu, sebanyak 1,307 dikesan di Kalimantan manakala 221 lagi di Sumatera.

Turut dikesan ialah 14 tompok panas di Sarawak iaitu lima di Kuching, masing-masing tiga di Sibu dan Kapit, dua di Limbang dan satu di Miri.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar (PA) Ismail Mahedin, berkata data itu diperoleh daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada jam 12 tengah hari tadi.


Jerebu disekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. - NSTP/L Manimaran

“Berikutan itu, keadaan di negeri ini dikhuatiri kembali berjerebu jika angin terus bertiup dari arah wilayah Kalimantan, Indonesia,” katanya di sini hari ini.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) di 13 Stesen Pengawasan Udara Automatik seluruh negeri mencatatkan bacaan pada tahap sederhana, namun sebahagian besarnya semakin menghampiri 100.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, Sri Aman mencacat bacaan 82, Kuching (89), Samarahan (74), Sibu (85), Sekolah Kebangsaan Kuala 2 (71), Mukah (75), Miri (72), Bintulu (81), Samalaju (76), Kapit (66), Limbang (78), Sarikei (80) dan Institut Latihan Perindustrian Miri (73).

Berikutan keadaan itu, perarakan kereta berhias yang dirancang diadakan di Tebingan Kuching sempena sambutan Hari Malaysia, Isnin ini turut bergantung kepada keadaan jerebu dan tahap bacaan IPU.

Jurucakap Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), berkata jika IPU berada pada tahap sederhana atau baik, perarakan itu akan diteruskan mengikut jadual.

“Jika keadaan jerebu pulih, orang ramai dijemput untuk menyaksikan perarakan kereta berhias yang bermula jam 8.30 malam, 16 September ini,” katanya.

Perarakan dijadualkan bermula dari Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan bergerak menuju Bulatan Sri Aman (Padungan), Jalan Central Timur, Jalan Budaya, Jalan Badaruddin Traffic Light, St. Joseph Cathedral, Museum baharu, Padang Merdeka, pejabat Pos kemudian ke Square Tower (Tebingan Kuching), Main Bazaar, Jalan Abell ,Jalan Pending sebelum tamat di Icom Square.

Berita Harian X