X
Jumaat, 13 September 2019 | 5:15pm
LEBIH 1,000 penumpang terkandas selepas keadaan berjerebu menyukarkan operasi pesawat untuk berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), di sini sejak jam 9 pagi tadi. - Foto BERNAMA
LEBIH 1,000 penumpang terkandas selepas keadaan berjerebu menyukarkan operasi pesawat untuk berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), di sini sejak jam 9 pagi tadi. - Foto BERNAMA

Jerebu: Lebih 1,000 penumpang terkandas di LTSAS

IPOH: Lebih 1,000 penumpang terkandas selepas keadaan berjerebu menyukarkan operasi pesawat untuk berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), di sini sejak jam 9 pagi tadi.

Pengurus LTSAS, Mohd Ali Osman, berkata keseluruhan jumlah penumpang itu, masing-masing membabitkan 549 penumpang yang sepatutnya berlepas dari LTSAS menggunakan empat penerbangan, manakala 555 penumpang lagi yang dijadualkan mendarat.

“Dua penerbangan membabitkan pesawat Scoot Airlines dari Singapura, pesawat AirAsia dari Johor Bahru dan pesawat Malindo Air juga dari Singapura.

“Kelewatan bermula jam 9 pagi tadi selepas pesawat dari Scoot Airlines yang sepatutnya tiba dari Singapura terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya ketika ditemui di LTSAS, di sini hari ini.

Selain KLIA, katanya, ada penerbangan yang terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang.

Beliau berkata, buat masa ini hanya satu penerbangan dijadualkan semula pagi esok membabitkan pesawat Scoot Airlines, manakala penerbangan lain sedang dalam perbincangan dengan syarikat pengendali masing-masing.

Katanya, penerbangan membabitkan pesawat AirAsia ke Johor Bahru juga setakat ini dibatalkan dan akan dijadualkan semula.

“Kita berharap situasi semasa cuaca akan berada pada tahap baik esok supaya segala urusan membabitkan penangguhan penerbangan dapat di atasi dengan sebaiknya,” katanya.

Sehingga jam 4 petang tadi, satu penerbangan dijadualkan semula manakala dua penerbangan dibatalkan.

Sementara itu, penumpang yang ditemui turut meluahkan rasa kecewa atas kelewatan dan penangguhan penerbangan, tetapi akur dengan keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini.

Penumpang, M. Shamsher, 37, berkata penerbangannya ke Johor Bahru yang dijadualkan pada 3.40 petang menggunakan pesawat AirAsia dibatalkan berikutan jerebu.

“Saya tidak pernah berdepan pengalaman sebegini sebelum ini dan sering menggunakan penerbangan untuk berulang alik antara Ipoh ke Johor Bahru kerana bekerja di sana,” katanya.

Seorang lagi penumpang yang hanya mahu dikenali sebagai Coco pula berkata, penerbangannya ke Singapura terpaksa dijadualkan semula pagi esok selepas dimaklumkan keadaan berjerebu.

“Saya sudah merancang untuk menghabiskan cuti hujung minggu bersama keluarga ke Singapura dan tak menyangka situasi ini boleh berlaku.

“Setakat ini saya dimaklumkan penerbangan dijadualkan semua esok, tetapi belum mendapat maklumat lanjut dari pihak penerbangan,” katanya.

Berita Harian X